Berita Hari Ini
Like

Kelantan Sah Beli Mercedes Benz Baru Untuk MB

January 15, 2020
521 Views
0 Comments
2 minutes read
Kelantan Sah Beli Mercedes Benz Baru Untuk MB

Sumber kerajaan negeri Kelantan hari ini mengesahkan kereta Mercedes Benz dengan plat pendaftaran DV 1 adalah kenderaan rasmi baru buat kegunaan Menteri Besar, Ahmad Yakob.

“Ya betul, yang kita tahu beli tahun lepas lagi,” katanya ringkas kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS itu telah membeli sebuah kereta Mercedes jenis S 450 L AMG Line berwarna hitam pada harga lebih RM600,000.

Baru-baru ini, laporan yang mendakwa kerajaan persekutuan akan membeli 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan mengundang bidasan pelbagai pihak.

Ini kemudiannya, memaksa menteri kewangan untuk tampil dan menjelaskan bahawa keputusan itu dibatalkan selepas syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi berkenaan mengesahkan bahawa terdapat bekalan kereta Perdana yang mencukupi.

Mengulas pembelian itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Senator Husam Musa mahu menteri besar memberi penjelasan apakah pemerolehan tersebut menggunakan wang bayaran tunai petroleum yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Kita nak tahu kerajaan negeri Kelantan beli kereta Mercedes baru untuk kegunaan menteri besar itu daripada sumber kewangan mana?

“Adakah daripada hasil wang bayaran hasil petroleum?” soalnya semasa dalam satu temubual bersama Malaysiakini.

Sebelum ini adalah dilaporkan Kelantan menerima bantuan ‘one-off’ berjumlah RM400 juta daripada kerajaan persekutuan pada 25 Disember tahun lalu.

Sambil mengucapkan terima kasih, Ahmad berkata kerajaan negeri menerima surat khas daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk meningkatkan sosio-ekonomi, kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan fiskal kewangan negeri.

Komen & Pendapat

Comments are closed.