Berita Hari Ini

Kementerian Mahu Pengecualian Visa Pelancong India, China Dilanjutkan Lebih Lama

SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong India dan China, berbanding setahun yang diberikan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pihaknya akan membincangkan tempoh lanjutan pengecualian visa itu bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dalam waktu terdekat.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata, ia bertujuan menarik lebih ramai pelancong dari kedua-dua negara untuk melawat ke negara ini, di samping permintaan daripada pemain industri.

“Kemasukan pelancong dari India dan China dijangka terus kekal tinggi berikutan kedua-dua negara itu adalah antara negara yang menyumbang kemasukan pelancong tertinggi ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Menyambut Pelancong di Pintu-Pintu Masuk Utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin.

Majlis sambutan itu diadakan serentak di 22 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pengecualian visa selama setahun dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari tanpa tempoh lanjutan bagi pelancong dari India dan China, mulai hari ini.

Pengecualian visa itu adalah prosedur biasa yang dibuat setiap tahun sejak 2016 mengikut Akta Passport 1966, membolehkan Pelaksanaan Electronic Travel Registration and Information (eNTRY) bagi kemudahan tanpa visa kepada pelawat dari China memasuki Malaysia untuk melancong atau lawatan sosial, sebelum diperluaskan kepada pelancong India.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, kerajaan menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong sempena TMM2020 dengan menjana pendapatan bernilai RM100 bilion daripada industri pelancongan.

Untuk itu, katanya, kementerian akan meneruskan kempen TMM2020 bermula 8 Januari ini dengan mengadakan seminar pelancongan bersama pihak industri di India.

Beliau berkata, MOTAC juga akan menyertai pameran Pelancongan ASEAN di Brunei, Pameran Pelancongan Fitur di Sepanyol (Fitur 2020) dan Festival Pelancongan Matka, Sinki di Finland pada hujung Januari.

“Acara sambutan ini diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terbabit dalam industri pelancongan bagi memeriahkan majlis di setiap lokasi.

“Selain menyambut kedatangan pelancong ke negara kita pada hari pertama 2020, majlis ini turut menghangatkan lagi kemeriahan sambutan kempen TMM2020,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");