Panasnya Hari Ini

Kenapa Tak Dakwa Haziq Mengaku Lakukan Seks Gay?

PETALING JAYA: Peguam Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan keputusan peguam negara tidak mendakwa seorang daripada lelaki mengaku terbabit dalam mengadakan hubungan seks sejenis dalam klip video yang tersebar tahun lalu.

Tanpa menamakan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz, Haniff berkata, individu terbabit merakamkan pengakuan itu yang dimuat naik ke media sosial pada Jun tahun lalu dan menamakan pasangannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 377A, 377B atau 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan seks di luar tabii, serta Seksyen 120A, 499 dan 500 akta sama atas kesalahan jenayah konspirasi serta fitnah.

Beliau turut mempersoalkan jika individu yang merakam dan menyebarkan video seks itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Namun persoalan yang ditampilkan juga wajib diselesaikan dan dijawab supaya isu video seks sejenis ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan muktamad, agar tidak menampilkan mana-mana persoalan lanjutan mahupun persepsi negatif di kalangan rakyat Malaysia,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Thomas mengumumkan tiada pendakwaan dalam kes itu kerana pihak berkuasa gagal mengenal pasti individu yang terbabit dalam klip video berkenaan.

Katanya, hasil analisa CyberSecurity Malaysia mendapati video itu tulen, tetapi pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video rendah.

Beliau berkata, hasil analisa video itu oleh pakar forensik di Amerika Syarikat dan yang dibuat seorang individu secara sukarela turut mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia yang gagal mengenal pasti individu dalam video itu kerana resolusi rendah serta kualiti dan rangka video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.

Sementara itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menghormati keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Keputusan ini saya lihat sebagai melindungi rakyat mengikut kuasa Perlembagaan. Kita harus elak daripada membuat spekulasi terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");