Panasnya Hari Ini

Keputusan Representasi Riza Aziz Pada 25 Februari

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 25 Feb untuk mengetahui keputusan representasi yang dikemukakan Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung pertuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Menurut Bernama, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal kepada pemberita selepas sebutan kes itu di dalam kamar Hakim Rozina Ayob.

“Status representasi yang dihantar peguam mewakili Riza masih belum diketahui kerana masih dalam pertimbangan,”katanya dan menambah mahkamah juga akan menetapkan tarikh perbicaraan pada tarikh itu (25 Feb).

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili Riza. Pihak peguam yang mewakili Riza telah menghantar representasi untuk menyemak semula pertuduhan terhadap anak guamnya kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Nov tahun lepas.

Rozina sebelum ini menetapkan 6 hingga 9 Jan dan 13 hingga 16 Jan 2020 untuk perbicaraan kes itu. Bagaimanapun tarikh itu dilapangkan sementara keputusan representasi.

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 Sept, 2012 dan 10 Okt, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun, 2012 dan 23 Okt, 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 Nov, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");