Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Digesa Jelaskan Kepada Rakyat Berkenaan Isu Cadangan Hak Milik Kekal Tanah

IPOH: Kerajaan Perak diminta untuk menangguhkan pelaksanaan pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada semua kampung baharu, sekiranya ia bakal dilaksanakan.

Sebaliknya kerajaan negeri digesa untuk mengadakan perbincangan dengan lebih mendalam berkenaan hal itu dan menerangkannya kembali kepada rakyat sebelum ianya mahu dilaksanakan.

Ekoran perkara tersebut, seorang individu, Aswannudin Hariffudin mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil kepada kerajaan negeri di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.

Katanya tindakan tersebut diambil sebagai langkah untuk menjernihkan keadaan dan mendapat titik noktah serta penyelesaian berhubung isu sama.

“Kita sebagai rakyat tidak nampak secara jelas isu ini di bawah bidang kuasa siapa? Adakah bidang kuasa negeri atau ada yang kata ia bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Dan kini ada yang kata ia berkenaan dengan hak milik tanah 999 tahun. Ada pula yang kata berkenaan perubahan status tanah kepada ‘freehold’. Jadi perkara ini masih samar-samar.

“Saya berharap tindakan ini dapat menjernihkan keadaan,” katanya yang juga Majlis Belia Negeri (MBN) Perak.

Tambah Aswannudin, beliau juga bimbang sekiranya pemberian hak milik tanah 999 tahun akan diteruskan ianya bakal memberi kesan buruk kepada usaha kerajaan dalam membina lebih banyak rumah mampu milik khususnya untuk golongan muda.

“Kerajaan telah berjanji untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik ini. Sekiranya perkara ini dilaksanakan, siapakah yang mampu membayar premium tanah itu?

“Sekiranya nilai premiumnya tinggi, mampukah pemaju untuk terus menyediakan rumah-rumah mampu milik buat golongan muda,” jelasnya.

Justeru beliau berkata, polemik terhadap isu ini harus dihentikan kerana ia disifatkan sebagai perkara yang merugikan rakyat.

“Saya berpendapat isu tanah ini tidak seharusnya digunakan oleh mana-mana parti politik untuk mencari laba politik.

“Saya amat risau sekiranya pemberian hak milik kekal ini dilakukan secara terburu-buru dan tidak difahami secara jelas oleh rakyat Perak, ia mungkin boleh menyebabkan kegusaran atau pertikaian sesama rakyat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selepas sidang media tersebut, Aswannudin kemudian menyerahkan beberapa dokumen termasuk salinan saman pemula, salinan afidavit dan salinan resit pemfailan mahkamah kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Mohd Jaffrey Mohd Zainol di sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");