Berita Hari Ini

Kerajaan Perlu Tegas Sebelum Krisis Koronavirus Jadi Kritikal – Hisham

Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein mengulangi gesaan agar kerajaan bertindak tegas dalam membendung penularan wabak koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang berasal dari bandar Wuhan di China.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Hishammuddin berkata tindakan tegas itu mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih kritikal.

“Sebab itu, seperti gesaan saya kelmarin di Twitter, kerajaan mesti bertindak tegas sebelum krisis ini jadi lebih kritikal di Malaysia sekali gus memudaratkan rakyat.

“Malah, rakyat kita di Wuhan juga mesti dipantau rapi.

“Lagi satu nasihat saya kepada segelintir pemimpin PH (Pakatan Harapan), kalau rasa tak mampu keluarkan kenyataan yang menenangkan rakyat, lebih baik diam,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut kenyataan pemimpin PH yang dimaksudkannya.

Bekas naib presiden Umno itu berkata, penularan wabak berkenaan merupakan perkara serius dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan bimbang tentang kesihatan diri mereka.

“Rakyat desak, rakyat minta penjelasan, rakyat marah dengan kenyataan sebahagian pemimpin PH bukannya apa. Tetapi kerana rakyat bimbangkan kesihatan diri mereka,” katanya.

Hishammuddin dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada petugas terutama kakitangan perubatan serta penjawat awam yang terlibat dalam pengurusan krisis ini.

“Saya doakan semoga segala urusan dipermudahkan. Dan semoga kita semua dilindungi Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan empat kes positif koronavirus di Malaysia melibatkan warga China di Johor.

Dalam perkembangan terbaru hari ini kerajaan mengumumkan keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya.

Semalam, timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati semua pihak agar tidak menyebarkan berita palsu dan memberi gambaran menakutkan berkenaan penyebaran wabak berkenaan.

“Jangan tular berita palsu, menakutkan dengan memberi gambaran kita dalam keadaan panik, adalah penting untuk menjaga satu sama lain,” kata Wan Azizah.

Najib: Gantung visa untuk semua warga China

Sementara itu bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan PH telah membuat keputusan “separuh u-turn” dengan menggantung kemudahan imigresen untuk warga Wuhan dan Hubei.

“Mereka umum kerajaan telah gantungkan pengecualian visa dan Visa on Arrival untuk warga China dari Wuhan dan wilayah Hubei sahaja.

“Tapi Datuk Bandar Wuhan mengaku semalam bahawa 5 juta penduduk Wuhan telah berjaya keluar dari bandar itu sebelum sekatan yang dikenakan oleh kerajaan China bermula.

“Jika mahu gantung, gantungkan pengecualian visa untuk semua warga China buat sementara waktu – bukan hanya untuk penduduk Wuhan dan Hubei sahaja,” katanya di laman Facebook.

Terdahulu dalam sidang media hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini tiada negara yang menghalang kemasukan dari China susulan meletusnya koronavirus di negara itu.

Beliau berkata, ia berdasarkan ketetapan yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Public Health Emergency of International Concern.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");