Berita Hari Ini

Kerana Perkauman Adalah Kita

Beberapa minit selepas tengah malam pada Jun 1994, seorang wanita dan seorang temannya ditemui mati di luar kediaman mereka di Brentwood, Los Angeles.

Wanita tersebut – Nicole Brown Simpson – ialah bekas isteri kepada selebriti terkenal Amerika, OJ Simpson. Lelaki itu bukan orang biasa-biasa. Dia seorang pemain bola sepak Amerika yang memegang banyak rekod kecemerlangan.

Selepas bersara, dia menjadi pelakon dan juga pengulas bola sepak Amerika di televisyen.

Dijadikan cerita, Simpson – atau “The Juice” yang menjadi nama gelarnya – ialah orang yang baran dan mempunyai sejarah keganasan domestik yang banyak sepanjang tujuh tahun perkahwinannya dengan Nicole.

Iklan

Simpson menjadi suspek utama pembunuhan tersebut dan dibicarakan. Perbicaraan kes itu sangat terkenal dan dianggap sebagai “the trial of century”. Ia mengambil masa selama 11 bulan.

Apa yang menarik – walaupun dengan bukti-bukti fizikal yang meyakinkan yang dibawa oleh pihak pendakwaan – Simpson akhirnya didapati tidak bersalah oleh mahkamah AS yang menggunakan sistem juri itu.

Selain daripada sejarah baran, cemburu dan penderaan domestik Simpson itu, antara bukti fizikal yang dikemukakan adalah kesan DNA dan jejak darah dari tempat jenayah ke kereta Ford Bronco milik Simpson, hingga ke bilik tidur di rumah mereka.

Jadi bagaimana si Simpson boleh terlepas? Jawabannya: Kerana naratif yang dijual oleh pihak pembelaan lebih ‘dibeli’ oleh juri. Naratif apakah itu? Jawabnya: Naratif perkauman.

Kulit putih, kulit hitam berbeza

Perkauman adalah perkara emosi dan ia sentiasa membutakan. “Game plan” atau taktik pihak pembelaan Simpson adalah bermain dengan emosi itu. Sementelah pula suasana perkauman di Los Angeles pada masa itu sangat tebal.

Justeru Simpson – seorang kulit hitam yang berjaya dan kaya-raya – dikatakan menjadi mangsa konspirasi Jabatan Polis Los Angeles (LAPD). Lebih tidak membantu, apabila Mark Furhman – antara pegawai polis terawal yang sampai di tempat jenayah dan menemukan bukti – juga dibuktikan mempunyai rekod perlakuan rasis tersendiri.

Akibat daripada naratif perkauman itu, apa yang paling mengesankan daripada perbicaraan Simpson adalah, betapa terbahaginya pendapat orang ramai kepada dua garis perkauman.

Orang kulit putih percaya Simpson bersalah. Orang kulit hitam pula percaya dia tidak bersalah. Padahal semua mengikuti perbicaraan yang sama dan melihat bukti-bukti yang sama.

Dengan kebijakan pasukan pembelaan Simpson yang diketuai oleh Jonnie Cochran, mereka dari awal menyasarkan untuk memilih juri yang majoritinya berkulit hitam. Dan juri itulah yang membebaskan Simpson.

Itulah, keadilan jarang dicapai apabila perkauman menjadi naratif utama. Dan itu yang membawa kita kepada hari ini. Tidak siapa tahu dengan jelas kenapa Dr Maszlee Malik dinasihatkan untuk meletak jawatan.

Setakat ini mungkin yang betul-betul tahu adalah Dr Mahathir Mohamad dan Maszlee saja. Kecualilah mereka mula membuka mulut bercerita, kerana kita tahu kedua-dua mereka sudah dihurung ramai orang, sama ada yang mahukan penjelasan, sekadar menghulur simpati, atau mencari peluang untuk mengambil kesempatan.

Maka banyaklah spekulasi yang bertebaran pada zaman semua benda diperolehi semudah satu sentuhan hujung jari ini. Tetapi yang membimbangkan adalah, naratif yang paling nyaring – sekali lagi – ialah perkauman.

Lihat saja bagaimana lidah rasmi sebuah parti politik dengan cepat mengaitkan DAP sebagai punca kepada tindakan Maszlee. Mereka melakukannya tanpa terlupa untuk meletak tanda soal bagi melepaskan tanggungjawab kerana mengemukakan idea berkenaan.

Di utara semenanjung, ada orang besar agama bertemu dan berbincang. Bincang apa? Bincang untuk bergerak dan bangkit menuntut pengharaman Dong Zong. Atas alasan apa? Pelampau perkauman. Seolah-olah di sini melampau menjadi Melayu itu tidak apa, jangan melampau menjadi Cina.

DAP dan Dong Zong adalah jenama yang ‘ringan di lidah, berat pada timbangan’ untuk melariskan naratif perkauman sempit di negara ini. Maka, kalau bukan mereka semata-mata, siapa lagi?

Satu naratif lagi adalah perseteruan Maszlee dengan cukong-cukong projek dan kontrak tertentu. Dan cukong-cukong itu bukan dilihat sebagai sekadar cukong. Mereka adalah cukong Cina.

Maka naratifnya ialah, Cina lawan Maszlee. Justeru kita mesti pertahan Maszlee! Padahal puak-puak itulah yang selama 20 bulan lalu tak henti-henti memperlekehkan Maszlee.

Jangan, kawan-kawan. Kita adalah apa yang kita percaya. Apa pun rasional dan bukti-bukti yang dibawakan oleh orang lain, tak akan berbekas kalau kita memilih untuk memandang dengan mata perkauman.

Saya tidak tahu bagaimana ketempangan ini mampu diubah. Ramai orang kata, hanya ilmu dan pendidikan yang boleh meluruskan kembali hal itu. Tapi sekarang pendidikan itulah yang memecahkan kita pada hari ini.

Nasib baiklah saya tidak termasuk dalam senarai calon Menteri Pendidikan yang baru. Jangankan menteri, hendak jadi pegawai menteri pun jauh sekali.

Kepada bakal menteri pendidikan, berat kerjamu yang menanti. God bless you.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");