Perak Hari Ini

Keunikan ‘Mi Tikus’ RM3 Di Stesen Bas Medan Kidd Ipoh

IPOH: Masakan Cina yang berasal dari Taiwan, ‘Loh si fan’ atau Mi Tikus pastinya akan menimbulkan tanda tanya buat sesiapa yang pertama kali mendengarnya.

Namun, bagi sesiapa yang berkesempatan singgah ke ‘Gerai Ipoh Ipoh Aje’ di Stesen Bas Medan Kidd, dekat sini pastinya harus mencuba menu unik tersebut.

Pengusaha gerai, Nor Aaini, 46 berkata mi tikus tersebut merupakan resepi tersendiri daripada suaminya, Ridzuan Ooi 47 yang juga tukang masak di situ.

Ketika ditemui PerakToday, katanya sepanjang perniagaan yang menjangkau usia 11 tahun itu menu tersebut merupakan menu kegemaran para pelanggannya.

Ujarnya dia tidak menolak kemungkinan dek kerana nama dan rupa mi itu, ianya menjadi salah satu faktor penarik terhadp menu tersebut.

“’Loh Si’ dalam Bahasa Cina bermaksud tikus manakala ‘fan’ pula bermaksud mi. Dalam makna sebenarnya ialah ‘laksa pendek’, namun orang lebih mengenalinya sebagai mi tikus.

“Ia boleh dimasak sama ada dengan kuah kicap, kuah kari ataupun sup. Namun pelanggan lebih menggemari apabila ia digoreng,” katanya.

Selain menu tersebut, anak jati Parit itu berkata antara masakan lain yang turut menjadi pilihan pelanggannya ialah ‘wan tan kungfu’, mi wan tan kicap, mi sup dan juga mi kari.

Katanya sebelum tular di media sosial, gerainya sudah menerima sambutan yang sangat mengalakkan khususnya apabila tiba musim cuti sekolah.

Tambahnya selain mempunyai pelanggan tetap, pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk para pegawai daripada pelbagai agensi.

“Kami pernah menerima pelanggan yang datang dari Johor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang. Apabila tiba musim cuti sekolah, ada pelanggan yang turun dari Stesen Keretapi Ipoh, sanggup berjalan kaki ke gerai kami ini,” katanya.

Ditanya mengapa mi tikus di gerainya hanya berharga RM3, Nor Aaini berkata memang niatnya untuk meletakkan harga sedemikian agar semua lapisan masyarakat boleh menikmati makanan unik tersebut.

“Memang niat menetapkan harga RM3 itu supaya semua orang boleh rasa makanan itu. Niat kami memang nak menjual sambil bersedekah.

“Saya faham bagaimana keadaan apabila ada ahli keluarga yang ramai, namun tidak berkemampuan untuk makan makanan yang sedap-sedap.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, ada juga yang tanya kenapa tidak menaikkan sedikit harga menu itu. Walau bagaimanapun kami percaya pada rezeki Allah,” katanya.

Gerai Ipoh Ipoh Aje beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 5 petang dan dibuka setiap hari, kecuali pada Rabu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");