Perak Hari Ini

‘Kita Mahu Perkemaskan Lagi’ – SU Kehormat PAFA

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mengumumkan satu tarikh baru bagi mengadakan majlis pelancaran jersi dan pengenalan barisan pemain bagi musim kali ini.

Setiausaha Kehormat PAFA, Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata beliau menafikan dakwaan yang menyebut terdapat beberapa isu dalaman sehingga majlis yang sangat ditunggu-tunggu pemain bola sepak Perak itu terpaksa ditunda.

“Bila ia diumumkan itu, kita akan tentukan kemudian. Namun buat masa ini kita sedang menyusun semula penganjuran majlis itu.

“Tidak timbul soal isu dalaman atau apa cuma seperti disebutkan, kita mahu memperkemaskan lagi supaya ia dapat memberi impak baik dalam tempoh jangka masa panjang buat Perak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kongres PAFA di Hotel Kinta Riverfront, di sini, hari ini.

Sebelum ini PAFA telah menguar-uarkan bahawa sebuah majlis memperkenalkan barisan pemain Skuad The Bos Gaurus dan jersi untuk musim kali ini dijadualkan diadakan hari ini.

Program beramah mesra atau ‘meet and greet’ yang dijadualkan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya juga turut ditunda.

Namun hanya Kongres PAFA dan perlawanan akhir Piala Presiden PAFA sahaja yang berlangsung seperti dijadualkan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan perkembangan terbaharu barisan pemain import, Mohamad Azlin berkata hanya awang import, Guilherme De Paula telah secara rasmi menandatangani bersama Perak.

“Seperti dimaklumkan Presiden PAFA, kita sudah menandatangani bersama De Paula dan pemain-pemain yang lain masih dalam penilaian,” katanya.

Untuk rekod, selain bekas penyerang import Kuala Lumpur kelahiran Brazil itu, Perak turut dilaporkan telah menandatangani bekas ketua pasukan PKNP FC, Hafiz Ramdan.

Selain itu, sebuah portal berita sukan turut melaporkan bahawa pemain import dari Korea Selatan, Jeon Hyo-Seok dikatakan sudah sah mengisi kuota pemain import Asia bagi beraksi bersama-sama juara Piala Malaysia 2018 itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");