Perak Hari Ini

Koronavirus: Perak Akan Tempatkan Pengimbas Suhu Di Pengkalan Hulu Dan LTSAS

IPOH: Kerajaan Perak akan mempertimbangkan bagi menempatkan dua pengimbas suhu di pintu keluar masuk antarabangsa iaitu di Pengkalan Hulu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah (LTSAS), dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A.Sivanesan berkata langkah tersebut bertujuan bagi membuat saringan demam kepada warganegara luar yang masuk ke negara ini melalui Perak dengan lebih berkesan, terutama dengan ancaman koronavirus baru (2019-nCoV) ketika ini.

Jelasnya perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat pada 24 Januari lalu bersama-sama pemegang taruh dan ia dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Katanya lagi setakat ini dua lokasi itu tidak mempunyai pengimbas suhu tersebut dan langkah pemeriksaan suhu kepada warganegara luar diambil secara manual menerusi penggunaan termometer dahi digital.

“Di Perak kita akan memantau di dua lokasi penting ini iaitu di Pengkalan Hulu dan LTSAS.

“Ini kerana di Pengkalan Hulu kebiasaanya kita menerima kedatangan warganegara dari Thailand manakala di LTSAS, kita menerima kedatangan pelbagai warganegara termasuk Singapura.

“Walau bagaimanapun, keadaan di Perak masih terkawal dan kita berharap ianya berkekalan,” katanya dalam satu sidang media di LTSAS, di sini, hari ini.

Ujarnya usul berkenaan penempatan dua mesin pengimbas suhu di pintu masuk antarabangsa di Perak yang setiap satunya dianggarkan berharga RM70,000 itu akan dibangkitkan semasa majlis mesyuarat kerajaan negeri berlangsung nanti.

Selain itu, katanya lagi sehingga kini Perak hanya mencatatkan satu kes yang mana individu yang disyaki menghidap 2019-nCoV itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 24 Januari sebelum disahkan negatif pada 25 Januari.

“Dari 1 sehingga 28 Januari ini, jumlah kedatangan pelancong asing ke LTSAS ialah seramai 3,585 dan daripada angka tersebut hanya dua sahaja pemegang pasport China.

“Setakat ini, tiada pelancong asing yang yang datang ke negeri ini dirujuk ke hospital bagi tujuan saringan atau jangkitan penyakit,” katanya.

Tambah Sivanesan walaupun HRPB diumumkan Kementerian Kesihatan sebagai antara 26 hospital rujukan bagi kes disyaki atau sahih 2019-nCoV di seluruh negara, namun empat lagi hospital di negeri ini turut boleh dijadikan hospital rujukan bagi tujuan pemeriksaan awal.

Ianya adalah Hospital Taiping, Hospital Manjung, Hospital Slim River dan Hospital Teluk Intan.

“Bagi memperkukuh pengurusan kes-kes disyaki seperti ini, lima hospital berpakar di Perak telah dikhaskan sebagai hospital yang menjalankan saringan iaitu Hospital Taiping, Manjung, Slim River, Teluk Intan dan HRPB yang bertanggungjawab merawat kes yang memenuhi jangkitan kriteria,” katanya. ,” katanya.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin kesemua warga China dan mereka yang datang dari China ke negeri ini akan diberi kad amaran kesihatan bagi tujuan pemantauan selama 14 hari.

“Semasa pemeriksaan awal, jika mereka didapati ada mengalami sebarang gejala berkaitan 2019-nCoV meraka akan diasingkan.

“Jika tidak, mereka akan diberikan kad amaran kesihatan yang mana sekiranya berlaku apa-apa gejala dalam tempoh 14 hari, mereka harus segera ke hospital bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");