Sukan Hari Ini

KRM Lihat Balik Keberkesanan Pembangunan Akar Umbi

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bakal menilai balik keberkesanan program pencarian bakat (ID) di peringkat akar umbi dan pembangunan pemain ke skuad senior selepas gagal mencapai sasaran pada Sukan SEA Filipina, tahun lepas.

Memetik laporan Bernama, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kedua-dua pasukan lelaki dan wanita yang masing-masing disasarkan untuk meraih emas dan perak ragbi 7-sebelah (7s), terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa kerana gagal menyaingi kehebatan Filipina.

Skuad lelaki, yang juga juara bertahan, dikecewakan dengan kekalahan 0-19 kepada pasukan tuan rumah pada final, manakala skuad wanita mengekalkan gangsa selepas gagal mara ke final apabila dikejutkan dengan kekalahan 31-5 kepada Filipina sebelum tewas 31-0 kepada Thailand dalam peringkat kumpulan.

“Untuk kedua-dua pasukan, halangan kita ialah Filipina yang rata-rata menggunakan pemain dari luar kerana peraturan dwi kerakyatan yang mereka guna pakai. Tapi itu tidak boleh jadi alasan selama-selamanya kerana apa yang negara lain buat adalah di luar kawalan kita.

“Kita perlu cari mekanisme untuk atasi perkara ini dan memastikan pasukan kita mampu bersaing dengan mana juga pasukan kerana kita tidak mahu hanya berjaya di peringkat Sukan SEA, tetapi berjaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

KRM sudah pun menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad 15s kerana Ragbi Dunia membenarkan seseorang pemain mewakili mana-mana negara tanpa kerakyatan jika bermain di sesebuah negara itu lebih dari lima tahun.

Shahrul bagaimanapun menjelaskan bahawa situasi itu berbeza apabila skuad 7s bertanding pada temasya seperti Sukan SEA kerana hanya pemain yang mempunyai kerakyatan boleh mewakili negara, iaitu satu proses yang rumit.

“Buat masa ini, kita fokus kepada pembangunan pemain kita sendiri dan meningkatkan penyertaan pemain luar pada kejohanan-kejohanan yang diadakan di negara kita. Korea Selatan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 rata-rata dengan pemain tempatan, mengalahkan Hong Kong yang menggunakan pemain luar,” katanya.

Shahrul percaya Malaysia juga mampu melakukannya jika mempunyai perancangan jangka masa panjang, strategi yang rapi dan pemikiran di luar kotak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");