Berita Hari Ini

Larangan Perjalanan Selalunya Tak Berkesan, Kata Ketua Badan Pemikir

PETALING JAYA: Larangan perjalanan selalunya tidak berkesan menahan virus berjangkit kerana inisiatif itu dilaksanakan selepas virus tersebar, menurut ketua sebuah pusat dasar kesihatan.

Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata tempoh pembendungan untuk koronavirus novel sudah lama berlalu.

Larangan China ke atas perjalanan antarabangsa berkumpulan mungkin lebih berkesan jika ia dilaksanakan beberapa bulan lebih awal, katanya.

“Larangan dikuatkuasakan selepas ramai orang sudah tinggalkan Wuhan dan bandar-bandar lain, jadi virus itu ada peluang untuk merebak. Bagaimanapun, anda tak boleh kenakan sekatan perjalanan sebelum ada sebab untuk mengenakan langkah drastik itu. Ketika itu, ia sudah terlambat,” katanya kepada FMT.

Walaupun larangan perjalanan yang mengurangkan pergerakan orang boleh menangguhkan penyebaran, Azrul berkata kes-kes sebelum ini membuktikan ia mungkin tidak berkesan terutama bagi kes koronavirus berjangkit.

Azrul Mohd Khalib.

“Sempadan tak sekat virus, bakteria, dan patogen. Virus itu sudah bergerak ke serata dunia kerana perjalanan udara dan musim cuti.

“Pengalaman kesihatan awam dan keterangan-keterangan epidemiologikal daripada wabak-wabak koronavirus sebelum ini memberitahu kita larangan perjalanan tidak berkesan untuk jangkitan virus jenis ini.

“Larangan perjalanan hanya membuatkan kita rasa selamat, membayangkan penduduk akan dilindungi,” tambahnya.

Beliau berkata ada kemungkinan keadaan di China lebih buruk daripada apa yang dipaparkan. Beliau berkata kerajaan China harus lebih telus mengenai wabak itu.

“Kerajaan China memberi gambaran keadaan terkawal selama berbulan-bulan. Oleh itu keputusan untuk melaksanakan larangan perjalanan secara meluas ini agak mengejutkan dan mencadangkan sebaliknya daripada apa yang didakwa kerajaan.”

Persatuan Perubahan Malaysia memuji langkah Malaysia menggantung visa untuk warga China dari Wuhan, wilayah Hubei dan kawasan sekitar.

Presiden Dr N Ganabaskaran berkata kerajaan membuat keputusan yang betul kerana bandar dan wilayah tersebut mencatatkan bilangan kes yang tinggi berbanding rantau lain.

Beliau berpandangan penggantungan tidak perlu diperluaskan kepada semua warga China, mengatakan langkah seperti itu adalah kerana panik.

Azrul berkata penggantungan itu “sudah pasti berlaku” memandangkan lebih 380,000 rakyat menyokong petisyen mendesak Putrajaya melarang warga China memasuki negara.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penggantungan itu semalam susulan kebimbangan mengenai penyebaran koronavirus novel memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");