Berita Hari Ini

Lelaki Warga Indonesia Ditemukan Mati Dibunuh Di Bota Kanan

PARIT – Seorang lelaki dipercayai warganegara Indonesia ditemukan mati disyaki dibunuh di sebuah kuari pasir di Batu 9 3/4, Bota Kanan, di sini pagi tadi.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.

Katanya pemeriksaan awal ke atas mayat lelaki yang dianggarkan berumur lingkungan 30-an dan hanya memakai seluar jean tanpa baju mengalami lebam-lebam pada beberapa bahagian badan selain kecederaan pada bahagian kepala dipercayai kesan senjata tajam iaitu sepanjang dua inci.

“Kita percaya mangsa bergelut sebelum meninggal dunia selepas jari hantu di tangan kanannya hampir putus dipercayai akibat pergelutan di beberapa tempat di kawasan ini sebelum mangsa rebah di lokasi dia ditemukan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Barudin berkata mangsa dipercayai dibunuh 10 jam lepas berdasarkan keadaan mayat mangsa dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa.

Barudin berkata pihaknya masih menyiasat latar belakang mangsa dan senjata yang digunakan dalam kejadian ini juga masih belum ditemui, tetapi polis yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Bakong, 30, berkata dia yang mahu menghantar ibunya bekerja terkejut melihat seorang lelaki terbaring di laluan masuk ke pejabat ibunya di kuari itu.

Bakong berkata dia kemudian mendekati mayat berkenaan sebelum menghubungi rakannya yang juga penyelia syarikat kuari itu yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.

“Setahu saya, dia (mangsa) kadang-kadang kerja di kuari sini. Terkejut lihat dia terbaring di situ dengan keadaan badan lebam dan ada darah sikit pada bahagian kepala,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");