Berita Hari Ini
Like

Mahathir Sangkal Dakwaan Kerajaan PH ‘Tiada Hala Tuju’

January 11, 2020
296 Views
0 Comments
5 minutes read
Mahathir Sangkal Dakwaan Kerajaan PH ‘Tiada Hala Tuju’

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada hala tuju, memberikan contoh terdapat pelbagai perkembangan positif untuk membuktikan sebaliknya.

Antara lain, beliau berkata kerajaan telah melancarkan skim Kemakmuran Bersama yang menggariskan laluan jelas untuk berkembang maju yang sesetengah pengkritik mungkin tidak dapat melihatnya.

“Tetapi bagi kerajaan, hala tujunya adalah jelas. Kami tidak mahu sekadar pulih dan menjadi makmur. Kami mahu kongsikan kekayaan negara kita secara saksama,” kata Dr Mahathir dalam catatan bertajuk ´Kerajaan PH´ di dalam blognya hari ini.

Untuk itu, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan inisiatif pelan perindustrian baharu, dilengkapi dengan pelan pertanian baharu.

“Kami tahu hala tuju kami. Orang luar mungkin tidak. Tetapi kami tahu. Kami amat jelas dengan apa yang kami mahu lakukan dan bagaimana kami akan lakukannya. Pelan-pelan mungkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk dirumuskan tetapi pelaksanaannya akan mengambil masa lebih lama, sekurang-kurangnya dua tahun atau lebih. Tetapi kerja sudahpun bermula,” katanya.

Bagi pemerhati ia tampak seolah-olah tiada apa yang bergerak, katanya sambil menggunakan pepatah ´Rome tidak dibina dalam masa sehari´ untuk menunjukkan bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan akan mengambil masa untuk membuahkan hasil.

“Beri kerajaan sedikit masa dan ambil bahagian sepenuhnya dalam dasar-dasar Kemakmuran Bersama, dan dalam dua tahun lagi anda akan sedar bahawa hala tuju kerajaan adalah betul,” kata Dr Mahathir dalam tulisannya itu.

Beliau berkata tuduhan bahawa kerajaan PH tiada hala tuju dibuat oleh mereka yang enggan menerima hakikat.

“Mari lihat apa yang ia telah lakukan. Disebalik hutang besar lebih satu trilion ringgit, yang jelas bahawa ia dapat mengekalkan kemampuan negara. Pemberi hutang tidak menyaman kerajaan. Malah, ada antaranya yang mahu meminjamkan lebih banyak wang pada kadar rendah. Kerajaan jelas mempunyai kepercayaan kredit. Hutang telah dikurangkan,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa negara turut stabil dari segi politik.

“Ya, terdapat sedikit gangguan oleh anggota dalam parti gabungan kerajaan. Tetapi itu adalah lazim. Tiada siapa yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi undi tidak percaya. Mereka tahu ia tidak akan berjaya,” katanya. Berhubung ekonomi, perdana menteri berkata ia masih berkembang pada kadar baik bagi sebuah negara yang pembangunannya pada tahap ini dan bahawa Malaysia masih mempunyai simpanan terbesar, antara lain, rizab Bank Negara amat tinggi – lebih RM400 bilion.

Dr Mahathir berkata dana lain seperti Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan dana lebih kecil yang lain keseluruhannya berjumlah lebih RM1.5 trilion dan syarikat minyak negara milik kerajaan Petronas turut cemerlang dengan pendapatan lebih RM100 bilion.

Disebalik semua itu, perdana menteri mengakui bahawa ringgit menyusut.

“Di banyak negara lain, rizab pada saiz ini akan menjamin kekukuhan mata wang negara. Tetapi pasaran tampaknya tidak percaya dengan kekukuhan kewangan dan mata wang Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan ekonomi dan mata wang Malaysia adalah kukuh.

Beliau turut menulis bahawa Malaysia semakin pulih daripada bencana yang disebabkan oleh kerajaan kleptokratik terdahulu dan kini menikmati tadbir urus lebih baik.

Katanya PH mengambil alih daripada kerajaan kleptokratik yang telah merompak negara selama bertahun-tahun, memusnahkan kewangannya, memperlekehkan pentadbiran agensi-agensinya, melanggar undang-undang, membuat pinjaman lebih tinggi daripada had dibenarkan, meletakkan negara di laluan untuk muflis, menjadikan rakyat bergantung kepada kerajaan dengan rasuah dan amnya menghakis moral rakyat.

“Sudah tentu, banyak orang yang gembira untuk menikmati wang rasuah dan banyak keistimewaan yang salah di sisi undang-undang. Mereka mahu amalan buruk ini diteruskan.

“Tetapi majoriti rakyat tahu akan keadaan teruk dialami negara dan memastikan kerajaan rasuah digulingkan,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata boleh dikatakan sebagai satu keajaiban berikutan pihak yang mengambil alih negara merupakan pakatan “bercampur-aduk” empat parti, bersama-sama dengan satu lagi parti di luar pakatan itu dan “malah seorang individu yang tiada kaitan pun dengan parti-parti berkenaan”.

Dr Mahathir berkata mereka akhirnya membentuk kerajaan dan saling bekerja bersama-sama, selepas membentuk Kabinet tanpa sebarang perjanjian bertulis berhubung siapa yang akan memegang jawatan apa.

“Ini merupakan keajaiban kedua. Kabinet berjalan lancar. Sekurang-kurangnya mereka boleh bertemu, berbincang dan membuat keputusan. Sudah tentu, ramai mengkritik keputusan mereka. Ini perkara biasa.

“Tiada kerajaan yang boleh mendapat persetujuan daripada semua orang pada setiap masa. Apa yang penting adalah kabinet yang ‘rapuh’ ini masih berfungsi,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.