Membawang Hari Ini

Moga Tahun Ini Lebih ‘Ong’

KUALA LUMPUR: Pelakon Angeline Tan, 53, mendambakan kehadiran Tahun Tikus sempena Tahun Baharu Cina hari ini mampu memberikan kemakmuran dan kesejahteraan buat dirinya dan keluarga.

Angeline yang popular menerusi watak Lucy dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu turut mengharapkan tahun ini membawa tuah dan rezeki berlipat ganda.

“Apa yang saya harapkan, diberikan kesihatan baik, rezeki melimpah-ruah, ekonomi stabil dan kebahagiaan dalam hidup setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina.

“Saya akui, agak sukar mendapat tawaran berlakon dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Jika ada jumlahnya tak banyak seperti sebelum ini.

“Apabila ekonomi stabil, peluang kerja akan bertambah dan memberikan sumber rezeki. Apabila ada kerja, hidup lebih bahagia. Apabila bahagia dan punya duit, hari-hari pun boleh jadi hari raya,” katanya kepada BH Online.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Angeline atau nama sebenarnya, Tan Yoke Yeah berkata, perayaan Tahun Baharu Cina disambut secara sederhana.

“Seperti biasa, saya akan menyambut perayaan bersama keluarga di Kuala Lumpur. Saya hanya melakukan persiapan secara sederhana.

“Zaman dahulu, saya membeli baju baharu setiap kali menjelang musim perayaan.

“Sekarang, saya membeli pakaian baharu pada bila-bila masa. Apa yang penting, saya dapat berkumpul bersama keluarga,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon bermata galak ini muncul dengan drama rantaian terbaharu, The Ghost Bride menyaksikan wataknya sebagai ibu psiko bernama Madam Lim.

The Ghost Bride, drama tempatan berbahasa Cina yang pertama memasuki pasaran dunia menerusi laman strim video Netflix. Ia sudah ditayangkan kepada penonton sejak 23 Januari lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");