Perak Hari Ini

Mohon Jeti Sungai Pinang Kecil Di Pangkor Dibuka Semula

IPOH: Penduduk Pulau Pangkor meminta agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan bagi membuka semula Jeti Sungai Pinang Kecil yang telah ditutup mulai 1 Januari lalu, serentak dengan pelaksanaan Pulau Bebas Cukai (PBC).

Wakilnya, Foo Yong Hooi berkata ekoran penutupan jeti tersebut, kini Pulau Pangkor hanya mempunyai sebuah jeti sahaja iaitu berhampiran dengan Pekan Pangkor.

Ekoran itu katanya keadaan di Jeti Pangkor kian sesak dan keadaan bertambah buruk apabila tiba musim cuti sekolah yang mana mereka terpaksa beratur panjang selain menunggu ketibaan feri sekitar tiga ke empat jam.

“Jika dahulu penduduk akan menggunakan Jeti Sungai Pinang Kecil termasuk bagi para peniaga yang mahu membawa masuk barang ke Pulau Pangkor.

“Namun kini, apabila jeti itu ditutup semua tertumpu ke Jeti Pangkor. Keadaan sesak apabila pelancong dan semua penduduk menggunakan jeti yang sama,” katanya.

Difahamkan penutupan Jeti Sungai Pinang Kecil adalah disebabkan ianya tidak diwartakan sebagai kawasan keluar masuk untuk pelaksanaan PBC.

Sementara itu jelas Yong Hooi, majoriti kalangan sekitar 12,000 penduduk di Pulau Pangkor adalah terdiri daripada golongan warga emas.

Katanya keadaan Jeti Pangkor yang panjang membuatkan warga emas mengalami kesukaran apabila terpaksa berjalan jauh untuk menaiki feri ke hospital di Manjung bagi mendapat rawatan perubatan.

Justeru mereka meminta agar Jeti Sungai Pinang Kecil dapat dibuka semula atau sekurang-kurangnya diberikan tempoh masa sekitar enam bulan ke setahun supaya penduduk dapat menyesuaikan diri.

“Bukan mudah bagi kebanyakan penduduk yang sudah tinggal di Pulau Pangkor puluhan tahun, tiba-tiba terpaksa menukar cara hidup yang baharu.

“Kami tidak memprotes sistem baharu ini, namun objektif kami meminta agar Jeti Sungai Pinang Kecil dibuka semula.

“Jika tidak dapat berbuat demikian pun, kami berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memberikan tempoh masa transisi supaya penduduk dapat memahami pelaksanaan sistem baru ini dengan baik,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam sidang media sama, Yong Hooi dan beberapa wakil penduduk Pulau Pangkor lain hadir bagi menyerahkan memorandum berserta 3,000 tanda tangan berkenaan cadangan membuka semula Jeti Sungai Pinang Kecil kepada Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Zainol dalam respons ringkasnya berkata ianya akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Sekretariat PBC Pangkor, Laila Mazwin Zakaria dalam satu surat rasmi memaklumkan bahawa Jeti Sungai Pinang Kecil akan dibuka sementara selama lima hari bermula 23 Januari ini.

Katanya ia mengambil kira faktor kedatangan pengunjung ke Pulau Pangkor bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina pada minggu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");