Perak Hari Ini

NCER Terus Tingkatkan Peluang Pekerjaan Dan Keusahawanan Di Perak

SUNGKAI- Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) akan terus memacu evolusi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan serta keusahawanan kepada rakyat di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha yang dibuat oleh pihak NCIA selari dengan apa yang dibawa oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed.

“Melalui NCIA, kerajaan negeri telah merangka pelbagai program yang menjurus ke arah pembangunan menyeluruh bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan, meningkatkan peluang keusahawanan dan menaikkan pendapatan isi rumah melalui pelancaran empat program yang disasarkan khusus bagi golongan belia dan wanita, orang Asli terutamanya mereka yang berada di dalam kumpulan B40 serta graduan, penganggur dan usahawan mikro,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa Majlis Pelancaran Program-Program Modal Insan: Menyemarakkan Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat Peringkat Negeri Perak di Institut Latihan Statistik Malaysia, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Kata Ahmad Faizal, menerusi usaha ini, begitu banyak program yang baik untuk rakyat yang akan dan sedang dilaksanakan seperti Program NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) di mana hasil pelaksanaan program tersebut sebanyak 11,142 pekerjaan diwujudkan sekaligus menangani isu pengangguran di negeri Perak.

“Program NTEP penting kerana ramai dalam kalangan rakyat terutama mereka yang berada di luar bandar mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai peluang untuk menyerlahkan bakat.

“Jadi kita perlu memberi penekanan kepada mereka dari luar bandar supaya bakat mereka boleh digilap ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.



Selain itu katanya, dalam program pasa hari ini, pihak NCIA turut menyerahkan insentif kepada penerima melalui empat program yang dilancarakan seperti empowerNCER@Perak iaitu komponen latihan dan keusahawanan yang memberi kemahiran asas dan latihan keusahawanan.

“EmpowerNCER@Perak merangkumi perlbagai bidang antaranya adalah bidang kulinari, pemprosesan makanan sejuk beku, bakeri dan pastri; baik pulih elektrik dan penghawa dingin; jahitan, dandanan rambut lelaki, spa kecantikan dan pelbagai program lagi.

“Antara lain adalah dengan menyediakan program keusahawanan iaitu entrepreneurNCER@Perak di mana bertujuan untuk melahirkan usahawan mikro dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) khususnya di kawasan luar bandar yang dijalankan melalui kerjasama dengan pihak AgroBank dan Maybank.

“Bagi memperkasa program empowerNCER di negeri ini, institusi pendidikan tinggi juga telah dilantik untuk menjalankan kelas bimbingan dan kursus pembangunan siasah untuk para pelajar, guru dan ibu bapa yang terlibat.

“Program empowerNCER juga digabungkan dengan kerjasama pihak MyKasih di mana sekolah terpilih akan dibekalkan dengan peralatan teknologi maklumat terkini dan peralatan robotik untuk pelajar lebih seronok dan berminat dalam matapelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM secara kreatif dan interaktif,” katanya.

Dalam pada itu, melalui program Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) iaitu satu dari dua program turut diberi suntikan dana sebagai pemangkin kepada syarikat-syarikat Bumiputera lebih berdaya saing di mana terdapat sebanyak tiga syarikat di Perak telah diluluskan sehingga kini.

Sebanyak RM73.6 juta pelaburan akan dijana, mewujudkan 52 pekerjaan langsung serta mencipta limpahan peluang keusahawanan dan pekerjaan sejumlah 42 di negeri Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");