Perak Hari Ini

‘Negara Ada Undang-undang, Jangan Sebar Berita Palsu’ – Hasnul

IPOH: Semua pihak diseru untuk tidak menyebarkan berita-berita palsu sehingga ia menimbulkan kegusaran masyarakat di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata sebaliknya mereka seharusnya bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk perkongsian sesebuah berita kepada pihak lain.

Katanya pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk menangani isu-isu penyebaran palsu, walau bagaimanapun katanya ianya akan menjadi buruk sekiranya pihak yang bertanggungjawab secara berterusan bertindak sebaliknya.

“Hari ini dilaporkan pihak polis sudah mengenal pasti individu-individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan Novel Koronavirus.

“Negara mempunyai undang-undang yang membolehkan mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menganggu-gugat ketenteraman awam ini untuk dikenakan tindakan.

“Saya menyeru untuk kita semua mempertimbangkan setiap berita yang kita terima dan mengesahkan ia menerusi saluran-saluran yang betul seperti dalam isu ini, ianya pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut menyeru agar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mana Baginda agar merujuk kepada KKM berhubung isu Novel Koronavirus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sembang Santai Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, dekat Manjoi, di sini, hari ini.

 

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Terdahulu dalam ucapan, Hasnul mengingatkan masyarakat agar tidak menjadi ‘ejen’ penyebar berita palsu.

“Segala penyakit dan virus ini memang membimbangkan namun yang paling kita takutkan ialah ‘virus’ berita-berita palsu,” katanya.

Mengulas lanjut tentang program, Hasnul yang juga Adun Titi Serong berkata program yang sudah memasuki siri ketiga itu berkemungkinan akan diperluaskan ke seluruh negeri di sepanjang tahun ini.

“Siri pertama di Titi Serong, siri kedua di Kuala Kangsar dan hari ini di sini ialah anjuran siri ketiga. Selepas ini kita akan mengaturkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang lain.

“Kita juga akan memberi penumpuan di Dun-Dun yang dikuasai pihak pembangkang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");