Perak Hari Ini

Pangkor Bebas Cukai: Penurunan Ketara Harga Barangan Selepas Tiga Bulan

Pulau Pangkor Bebas Cukai

LUMUT: Perubahan serta penurunan harga barangan dan caj perkhidmatan di Pulau Pangkor, pasca pengisytiharannya sebagai Pulau Bebas Cukai akan dirasai pengguna di situ secara ketara selepas tempoh tiga bulan ini

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata ia disebabkan beberapa faktor antaranya melibatkan stok barangan sebelum Januari 2020 yang masih belum terjual serta isu pengangkutan masuk barangan ke Pulau Pangkor.

Walai bagaimanapun katanya, penurunan harga tetap berlaku pada masa kini namun ianya berlangsung secara berperingkat seperti melibatkan harga barangan jenis rokok.

“Untuk melihat perubahan ketara harga barangan dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai, kita memerlukan tempoh tiga bulan.

“Dari segi barangan, ada peniaga yang telah membeli stok barangan lama dengan harga dicukai, jadi mereka tidak boleh menjualnya dengan harga bebas cukai. Jadi mereka memerlukan sedikit masa.

“Selain itu, berkenaan isu kenaikan harga barang, saya difahamkan sebelum ini stok barangan masuk ke Pulau Pangkor, melalui Marina Bay yang memakan masa hanya setengah jam.

“Namun kini barangan masuk melaui Jeti Kampung Aceh yang memakan masa ke pulau ini sebanyak satu setengah jam. Perkara ini kita akan lihat dan saya akan bawa ke mesyuarat Exco pada Rabu nanti,” katanya.

Sementara itu ujarnya faktor semasa seperti krisis kekurangan bekalan bawang India pula merupakan antara punca yang mempengaruhi kenaikan harga makanan siap masak di pulau itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Progam Walkabout Bersama Komuniti Di Pulau Pangkor Sempena Pengisytiharannya Sebagai Pulau Bebas Cukai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, V Ravichandran; Pengarah Skretiat Pulau Bebas Cukai, Laila Mazwin Zakaria serta wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia Stesen Pangkor, Akhimullah Muhaimin Norbi

Pada masa sama menurut Sivanesan, berdasarkan pemantauan harga barangan bagi tempoh 1 Disember 2019 sehingga 7 Januari 2020 mendapati berlaku beberapa kes peningkatan harga barangan dan caj perkhidmatan di pulau tersebut.

“Bagi katagori barangan, daripada 432 yang diperiksa, kita mendapati sebayak 23 jenis barangan yang mengalami perubahan harga yang melebihi 10 peratus.

“Bagi kategori bilangan makanan siap masak pula, yang mengalami kenaikan harga melebihi 10 peratus ialah 18 jenis masakan, manakala tujuh jenis masakan mengalami penurunan harga melebihi 10 peratus.

“Sementara itu, berdasarkan pemantauan ke atas 20 premis hotel, resort dan rumah tumpangan, direkodkan satu premis mengalami kenaikan dalam caj perkhidmatan menerusi pakej yang ditawarkan, manakala terdapat satu premis lain mengalami penurunan” katanya.

Jelasnya pemantauan dijalankan ke atas 109 premis pelbagai jenis di empat lokasi antaranya Pekan Pangkor, Sungai Pinang Kecil, Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");