Membawang Hari Ini

Pelawak Senior Perlu Peka Perkembangan Semasa

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Ebby Yus, 55, sentiasa memastikan pengisian jenaka yang dipersembahkan sejajar perkembangan semasa bagi membolehkan dirinya terus relevan dalam industri hiburan.

Katanya, penggiat seni tidak boleh malas menguasai perkara baharu, terutama mengkaji isu yang sedang tular sebagai kandungan ketika beraksi di pentas supaya bertepatan kehendak semasa.

“Memang ada segelintir pelawak senior meluahkan perasaan terkilan apabila kurang mendapat tawaran atau bayaran tidak setimpal. Semua itu bagaimanapun, berbalik kepada diri sendiri.

“Kita perlu tahu kekuatan dan meneliti ‘bahan’ yang kita ada terlebih dahulu. Kita kena ikuti perkembangan semasa supaya audien dapat terima kandungan yang dipersembahkan, bukan menuding jari menyalahkan stesen televisyen (TV) atau pelawak generasi baharu.

“Masalah sekarang ada dalam kalangan kita yang malu untuk belajar atau masih terperangkap dengan corak jenaka sama. Itu yang membuatkan orang tidak memanggil mereka.

“Syukur, sampai sekarang undangan pentas dan menjayakan program TV tetap ada, biarpun saya berdepan masalah kesihatan apabila menghidap sakit buah pinggang sejak awal tahun lalu,” katanya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid itu tidak menafikan, keadaan kesihatannya sedikit sebanyak membataskan pergerakannya.

Namun, selepas mendapatkan rawatan berkala, selain menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat, keadaan kesihatannya semakin terkawal.

“Alhamdulillah, sejak beberapa bulan lalu, pergerakan saya semakin cergas dan dapat kembali memenuhi undangan pentas dan program TV.

“Jika kena pada masa dan lokasi, saya tidak akan tolak kerana kerjaya seni sudah menjadi sebahagian daripada terapi diri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");