Berita Hari Ini

Peletakan Jawatan Maszlee: Lantikan Kroni Atau Usaha Gagalkan Pembaharuan?

Selepas peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan, beberapa pihak dalam kementerian itu mengeluarkan dakwaan bahawa beliau sebelum ini melantik mereka yang mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan Islam dalam sejumlah kedudukan penting.

Ia termasuklah dalam institut pengajian tinggi awam dan pihak tersebut berkata lantikan itu perlu disemak semula.

Bagaimanapun beberapa sumber yang dihubungi Malaysiakini menyatakan hal berbeza – bahawa ada pihak dalam kementerian yang melihat pengunduran Maszlee sebagai peluang menyekat usaha pembaharuannya dan kembali kepada status quo.

“Mereka mahu status quo dikembalikan…Jadi mereka mahu semua usaha Maszlee untuk membawa pembaharuan dihalang, dan melakarkan usaha itu sebagai penyusupan Ikram (dalam Kementerian Pendidikan).

Ikram, atau Pertubuhan Ikram Malaysia, ialah pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan Maszlee.

“Ada keperluan untuk memberitahu orang awam dan seterusnya Parlimen dan kabinet, berkenaan pensabotaj atau unsur daulah terpendam dalam kementerian,” kata seorang sumber yang enggan dinamakan, yang merupakan tokoh dihormati dalam dunia akademik, kepada Malaysiakini.

Seorang sumber dari Kementerian Pendidikan pula menafikan dakwaan Maszlee melantik orang yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu untuk menjadi naib canselor di IPTA.

“Tuduhan ini tak berasas dan tiada fakta.

“Semua naib canselor bukan dilantik terus oleh Maszlee, sebaliknya oleh satu jawatankuasa yang ditubuhkan. Jawatankuasa ini dianggotai pakar dan merekalah yang membuat cadangan,” kata pegawai kementerian itu, yang berkhidmat di bawah Maszlee ketika beliau masih sebagai menteri.

Dia merujuk kepada Jawatankuasa Lantikan Naib Canselor Universiti Awam yang dipengerusikan Pro Canselor UiTM Zarinah Anwar dan dianggotai Wahid Omar, Dr Lin-See Yan, Dr Mohamad Abdul Razak dan Dr Andrew Aeria.

Selain itu, dia juga membangkitkan dakwaan pihak dalam PH yang ingi menyekat pembaharuan Maszlee, yang didakwanya tidak memberikan kontrak kepada pihak yang dimahukan mereka.

Laman berpangkalan di Hong Kong Asia Sentinel dalam laporannya pada 15 Januari lalu memetik seorang bekas naib canselor yang mendakwa sekurang-kurangnya 26 naib canselor dan timbalan naib canselor yang dilantik tidak dibuat berdasarkan merit, tetapi “kesetian” terhadap Maszlee dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Artikel bertajuk Islamic Assault on Malaysia’s Higher Education itu mengaitkan fahaman kedua-dua tokoh itu yang didakwa berpegang dengan fahaman Salafi.

Hari ini laporan FMT yang memetik sumber dalam Kementerian Pendidikan yang turut membangkitkan perkara serupa, dan antara lain mendakwa ada individu yang mempengaruhi jawatankuasa lantikan itu.

“Apa yang berlaku ialah individu yang sepatutnya mencari calon sesuai diberikan nama oleh individu berpengaruh dalam jawatankuasa itu dan terdapat juga dakwaan sesetengah nama ini tidak layak,” katanya seperti dipetik.

Penyingkiran wakil pelajar dalam jawatankuasa Auku

Berkenaan dakwaan usaha menghalang pembaharuan Maszlee, Malaysiakini difahamkan antara perkara yang membangkitkan kebimbangan ialah penyingkiran wakil pelajar dalam jawatankuasa teknikal untuk pembaharuan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, termasuklah kemungkinan pemansuhannya.

Ketika dihubungi, salah seorang wakil pelajar dalam jawatankuasa itu, Wong Yan Ke mengesahkan mereka telah digugurkan secara tiba-tiba semalam.

“Kami menerima pesanan WhatsApp semalam di mana mereka memberitahu semua pelajar dalam jawatankuasa akan disingkirkan kerana kami bukan lagi pelajar, kami adalah graduan dan sebab itu mereka perlu menggantikan kami dengan wakil yang masih dalam pengajian,” katanya.

Katanya, mereka tidak menerima apa-apa tanda berkenaan penyingkiran itu sebelum menerima pesanan tersebut.

Selepas pesanan itu, katanya lagi, dia menerima emel yang melampirkan surat penghargaan atas sumbangannya dalam jawatankuasa itu, tetapi tidak menyebut tentang penyingkirannya.

Surat itu, yang dilihat Malaysiakini, bertarikh 24 Disember 2019 dan ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Mohd Saleh Jaafar.

Dengan penyingkiran wakil pelajar, Wong berkata dia bimbang Auku mungkin tidak akan dimansuhkan, walaupun perkembangan awal dalam proses jawatankuasa menunjukkan kemungkinan itu.

Katanya, perancangan awal adalah untuk undang-undang baru menggantikan Auku dibentang di Parlimen dalam tahun ini.

“Sekarang kami sangsi sama ada Auku akan dimansuhkan atau tidak,” katanya lagi.

Malaysiakini bercakap dengan pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa Jabatan Pendidikan Tinggi Zaid Omar, yang merupakan individu yang menghantar pesanan WhatsApp untuk memaklumkan penyingkiran wakil pelajar.

Menurutnya, selepas perbincangan dengan Bahagian Governans Jabatan Pendidikan Tinggi, mereka memutuskan untuk menggantikan barisan wakil pelajar dalam jawatankuasa dengan anggota baru, memandangkan wakil semasa sudah pun tamat pengajian.

Ditanya sama ada barisan baru akan memberi kesan kepada kemajuan jawatankuasa, yang dikatakan sudah di peringkat akhir, Zaid berkata masih ada banyak yang perlu dilakukan.

“Saya tidak rasa jawatankuasa sudah di tahap akhir, masih ada beberapa perkara sebelum Auku baru dapat diratifikasi. Masih ada banyak kerja dan pelajar (baru) masih boleh memainkan peranan (dalam jawatankuasa).”

Bagaimanapun dia mengakui ada beberapa wakil yang disingkirkan masih bergelar pelajar dan tiada masalah untuk melantik mereka semula “di peringkat yang terkemudian”.

“Misalnya salah satu persatuan mahasiswa ialah Higher Education Malaysia Association (Heya), yang kebanyakannya dianggota pelajar Cina. Mereka ada dua atau tiga wakil dalam jawatankuasa, jadi saya gembira untuk bekerjasama dengan mereka semula kerana mereka masih pelajar dan agak aktif dan vokal dalam jawatankuasa,” katanya.

Katanya lagi, jabatannya kini bekerjasama dengan majlis perwakilan pelajar untuk melantik wakil pelajar baru dan berharap ia boleh diselesaikan pada minggu depan.

‘Langkah mengejutkan, bodoh’

Pensyarah komunikasi dan media Prof Zaharom Nain ketika dihubungi menyifatkan penyingkiran wakil pelajar dalam jawatankuasa teknikal itu sebagai mengejutkan.

Katanya, ini kerana jawatankuasa itu sudah di peringkat merangka undang-undang baru untuk menggantikan Auku.

Zaharom Nain

Zaharom, yang turut berada dalam jawatankuasa itu sebagai wakil ahli akademik, berkata mereka telah melakukan sesi libat urus dan membentangkan dapatan kepada jawatankuasa.

“Mahasiswa sudah buat libat urus, kami juga buat libat urus dengan kalangan akademik, wakil pentadbiran juga membuat libat urus mereka.

“Kita buat sesi town hall dan bentangkan dapatan kami kepada mereka, dan adakan perbincangan. Banyak yang telah dilakukan. Saya tidak tahu banyak mana lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Dia juga berkata langkah menyingkirkan wakil pelajar daripada jawatankuasa itu sebagai “bodoh” kerana mereka telah terlibat sejak dari awal.

“Persoalan saya sekarang siapa yang mereka (kementerian) nak lantik? Adakah mereka nak bawa masuk pelajar yang berpendirian ‘preservationist’ (mahu mengekalkan undang-undang sedia ada)?” soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");