Perak Hari Ini

Pemandu Kereta Dan Kelindan Lori Cedera, Terlibat Kemalangan Di Lebuhraya PLUS

IPOH: Seorang pemadu kereta dan seorang kelindan lori yang membawa muatan gulungan kertas mengalami kecederaan ringan apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer (Km) 250 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Terowong Menora ke hentian Sungai Perak dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ismail berkata mangsa, pemandu kereta, Mohd Shafri Mansor 31, dan kelindan lori, Zaneri bin Yahdin, 63 telah dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar bagi mendapat rawatan.

Sementara pemandu lori, Faizal Zaneri, 33 anak kepada kelindan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Razali dalam satu kenyataan berkata pada kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi itu, berpunca apabila lori yang membawa muatan gulungan kertas itu hilang kawalan sebelum merempuh kereta jenis Honda Civic yang berhenti di bahu jalan akibat mengalami kerosakan.

“Ketika kereta itu berhenti di bahu jalan, pemandu telah keluar dari kenderaannya bagi mendapatkan bantuan daripada pihak PLUS.

“Secara tiba-tiba sebuah lori yang dipandu di lorong kiri jalan, telah hilang kawalan sebelum merempuh dan menyeret kereta yang berhenti itu ke hadapan.

“Ia kemudiannya telah mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu berpusing selain menyebabkan muatan gulungan kertas yang dibawa lori tersebut berselerak di atas jalan,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam laporan berasingan, kejadian tersebut telah mengakibatkan kesesakan aliran trafik sejauh enam Km di situ.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, semua lorong ditutup berikutan muatan lori bertaburan di atas jalan ketika kejadian kira-kira pukul 6.00 pagi namun pada pukul 7.50 pagi, lorong kanan telah dibuka untuk laluan kenderaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");