Perak Hari Ini

Pembangunan Pulau Pangkor Perlu Masa, Mahu Pastikan Warga Tempatan Dapat Nikmat – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak komited untuk membangunkan Pulau Pangkor yang telah diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai selain pada masa sama memastikan ia memberi impak baik kepada warga tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu namun berkata perkara tersebut memerlukan tempoh masa bagi meminimumkan sebarang isu berbangkit pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu perkara ini dilakukan dengan drastik sehingga menyebabkan kejutan budaya. Justeru kita ambil sedikit masa agar dapat meminimumkan sebarang kesilapan. Hasrat kita adalah untuk memberi limpahan ekonomi yang terbaik kepada warga tempatan.

“Kita boleh sahaja tarik pelabur luar untuk membuka perniagaan di Pulau Pangkor namun akhirnya rakyat tempatan hanya menjadi ‘kuli’. Itu bukan malah jauh sekali daripada hasrat kita.

“Kita mahukan pembangunan itu dijalankan secara berperingkat dan pada masa sama kita akan menerima pandangan-pandangan rakyat tempatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi wawancara khas di Radio Malaysia Perak FM di RTM Perak, di sini, hari ini.

Beliau kemudian diminta untuk mengulas keputusan Kementerian Kewangan yang mengesahkan bahawa minuman keras termasuk dalam senarai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor.

Katanya disebabkan keputusan di peringkat kementerian itu, Ahmad Faizal berkata satu kajian lanjut akan diadakan termasuk cadangan berkenaan menyediakan zon khas bagi penjualan item itu pulau tersebut.

“Saya cadangkan agar dapat diwujudkan satu kawasan khas bagi zon perdagangan bebas untuk penjualan minuman keras.

“Ini selari dengan kehendak penduduk tempatan juga, yang sebelum ini daripada kerajaan terdahulu mengatakan tidak mahu ianya jadi sebahagian daripada barangan bebas cukai.

“Maka dalam Sidang Dewan Undangan Negeri lalu, saya sendiri telah menyatakan komitmen tersebut. Namun, penerangan daripada kerajaan persekutuan bahawa dasar kerajaan adalah sebaliknya.

“Jadi, pihak berkuasa negeri ada pandangan lain. Mungkin ada banyak perkara yang perlu kita usahakan terlebih dahulu.

“Di mana yang penting, selepas Pangkor ini dapat status pulau bebas cukai, kita perlu bangunkan dari segi pelancongan, prasarana awam, fasiliti kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");