Panasnya Hari Ini

Pendedahan SPRM Belakangkan Kedaulatan Undang-Undang: Peguam

SHAH ALAM – Pendedahan kandungan sembilan rakaman audio panggilan telefon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada orang awam semalam merupakan kemungkiran kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan itu tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguat kuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali.

Beliau berkata, harapan rakyat pada era Malaysia Baharu untuk melihat negara ditadbir berpandukan ketelusan dan kedaulatan undang-undang, namun malangnya sidang akhbar SPRM semalam membuktikan amalan sebaliknya.

“Hatta, rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutama pihak penguat kuasa undang-undang seperti SPRM untuk menunjukkan amalan betul prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) ini agar segenap lapisan masyarakat lain seperti pemimpin politik, pihak korporat, pengamal profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu.

“Malangnya pada Rabu, 08.01.2020, melalui satu sidang akhbar yang disiarkan melalui video berdurasi 1 jam 13 minit dan 16 saat, dengan penuh dukacita saya nyatakan di sini, bahawa pihak SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya telah mendedahkan kepada awam secara salah akan butiran perkara dan bahan siasatan baru (segar) secara menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian katanya, sepatutnya Latheefa mengarahkan pegawai SPRM yang menerima rakaman audio berkenaan membuat laporan polis serta-merta dan menyerahkan kesemua bahan itu untuk siasatan lanjut pihak polis sahaja.

Tambah Mohamed Haniff, pada dasarnya kandungan rakaman audio itu mendedahkan kemungkinan wujud jenayah lain yang adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM.

“Sememangnya bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan.

“Ia boleh menjejaskan siasatan dan memberi gambaran serta impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi sememangnya belum lagi selesai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut pelbagai persoalan akibat kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang ekoran pendedahan itu kerana khuatir memberi kesan kepada perjalanan kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Haniff melalui status di Facebook itu turut menyenaraikan antara persoalan mungkin wujud ialah:

(a) Adakah tindakan Latheefa dan SPRM itu mendahului mahkamah yang sedang dan akan bicarakan pelbagai pertuduhan jenayah terhadap Najib mahupun pihak-pihak lain?

(b) Adakah pendedahan berkenaan menjadi satu tindakan yang boleh dianggap sebagai ‘penghinaan’ terhadap mahkamah?

(c) Adakah dari segi undang-undang, kandungan 9 ‘rakaman audio panggilan telefon’ yang didedahkan itu memihak kepada pihak pendakwa raya ataupun ataupun memihak kepada pihak Najib (ataupun pihak-pihak lain terbabit)?

Ujarnya, sekiranya beliau memberi ulasan terhadap persoalan berkenaan, ia mungkin akan mencemari perjalanan sistem keadilan dalam siri pertuduhan terhadap Najib.

“Saya khuatiri akan melahirkan cadangan tindakan lanjut yang boleh diambil oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dalam siri pertuduhan jenayah berkenaan, yang mana adalah tanggungjawab mereka sendiri untuk fikirkan dan lakukan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");