Berita Hari Ini
Like

Pengundi Kimanis Lebih Takut PSS Daripada PAS, Kata Takiyuddin

January 17, 2020
315 Views
0 Comments
2 minutes read
Pengundi Kimanis Lebih Takut PSS Daripada PAS, Kata Takiyuddin

PETALING JAYA: Pengundi di Parlimen Kimanis tidak takut dengan kehadiran PAS di Sabah untuk membantu kempen calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kali ini, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Beliau ketika dihubungi FMT berkata, PAS diterima baik seperti parti lain, walaupun terdapat momokan ia mengamalkan ekstrem agama dan perkauman.

“Kita diterima baik pengundi bila bersama Umno. Pimpinan kita turun kempen rumah ke rumah, saya lihat tidak ada masalah untuk PAS diterima sama seperti parti politik lain juga, tiada perkara yang menjadi fobia kepada pengundi di Kimanis.

“Dalam konteks PRK Kimanis, nampaknya Pas Sementara Sabah (PSS) tidak disukai berbanding PAS,” katanya berseloroh merujuk bantahan terhadap program menggantikan 3 dokumen kepada warga asing yang tinggal lama di Sabah, iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-burung.

Ditanya jika PAS menggunakan pendekatan berbeza untuk membantu BN berkempen di Sabah, Takiyuddin berkata, ia menggunakan cara sama seperti di Semenanjung Malaysia.

“Kita terbuka dan kita menghormati semua adat kaum lain dan juga agama lain, sebagaimana kita kempen di Tanjung Piai, pendekatan kita dengan pengundi Cina sama, polisi mesra kepada semua penggundi, jadi tidak timbul PAS ini parti yang ekstrem dan sebagainya, saya rasa itu adalah satu serangan kepada PAS untuk calarkan imej PAS.”

Mengenai peluang BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis, Takiyuddin berkata, BN berpeluang memenangi PRK kali ini.

“Berdasarkan sambutan terhadap program Umno dan BN yang disokong parti-parti lain di Sabah, saya nampak peluang untuk BN mempertahankan kerusi Kimanis itu agak besar.”

Lebih 1,000 orang menghadiri Himpunan Penyatuan Muafakat Rakyat Sabah yang diadakan di Kimanis kelmarin.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden PBS Maximus Ongkili dan penasihat parti itu, Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Kurup, Takiyuddin dan bekas ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Karim Bujang dan calon BN Mohamad Alamin memetik FMT.

Komen & Pendapat

Comments are closed.