Perak Hari Ini

Perak Rangka Lima Fokus Utama Tahun 2020

IPOH- Kerajaan Perak telah merangka lima fokus utama untuk pembangunan negeri bagi tahun 2020 menerusi Rancangan Pembangunan Perak Darul Ridzuan 2021 hingga 2025 (RPP 21-25).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah melalui satu dokumen yang boleh digunakan sebagai panduan untuk meneruskan pembangunan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, lima fokus utama tersebut adalah Rethink (Menilai, Muhasabah, Menganalisa); Big Data (Penggunaan Data Raya); Memperkasa Sistem Penyampaian melalui Inisiatif Digital; Take Pride and Take Ownership (Berbangga dengan pekerjaan yang dilakukan dan bertanggungjawab dengan keputusan yang kita ambil); dan Tindakan bersama tangani Perubahan Iklim.

Menerusi RPP 21-25 katanya, ianya sama seperti apa yang dibuat selama ini dalam Rancangan Malaysia tetapi ianya khas untuk negeri Perak supaya kerajaan dapat jalankan satu pembangunan yang terancang dengan lebih baik.

“Saya mengambil contoh jikalau sebelum ini kita bangunkan sesuatu perkara dalam sektor pelancongan dan dilaksanakan di sekeliling negeri Perak akhirnya semua tempat ini tidak menjadi malahan, kita juga nampak dari segi penyelenggaraan melalui perbelanjaan asal yang mana mendatangkan kesusahan kepada kerajaan dan tidak mendatangkan hasil yang banyak kepada negeri dan rakyat malah mendatangkan beban untuk menjaganya nanti.

“Jadi disebabkan perkara ini, kita memerlukan satu perancangan yang benar-benar teliti khususnya kepada peruntukan secara adhoc dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Executive Talk dan Amanat Tahun Baru 2020 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, menerusi lima fokus RPP 21-25 tersebut, antara tanggungjawab kerajaan terhadap ‘Rethink’ yang akan dipastikan oleh kerajaan adalah meneruskan projek-projek yang memberi impak positif kepada rakyat yang mana bagi projek yang kurang berjaya pula, kerajaan mesti memikirkan pendekatan baru.

“Big Data (Penggunaan Data Raya) pula sebagai asas dalam merancang sesuatu projek atau polisi kerana ianya penting supaya setiap perancangan jabatan dan agensi adalah berdasarkan kepada proses Membuat Keputusan Berpandukan Data (Data Driven Decision Making) dan juga Evidence-Informed Decision Making yang menekankan kepada analisa data.

“Sebagai pelengkap kepada agenda ini, kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan Sistem Penyampaian melalui Inisiatif Digital kerana kita mahu akses kepada rakyat terus ditingkatkan.

“Saya ingin menyeru kepada setiap kita penjawat awam supaya mengamalkan prinsip take pride dan take ownership iaitu berbangga dengan amanah yang kita pikul iaitu bekerja dengan bersungguh-sungguh.

“Akhir sekali, iaitu Tindakan Bersama Bagi Menangani Perubahan Iklim atau Climate Change dengan harapan setiap jabatan, agensi, GLC dan badan berkanun negeri akan berganding bahu dalam merealisasikan agenda Perak Green Plan, demi masa depan anak-anak pewaris negeri ini,” jelas beliau lanjut dalam ucapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");