Berita Hari Ini

Perak Tekad Perbaiki Kedudukan Pada SUKMA Johor

PERAK optimis mampu meraih kedudukan lebih baik dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang bakal berlangsung di Johor pada 11 hingga 19 Julai nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata selepas sekadar menduduki tangga kelima pada temasya sama di Perak dua tahun lepas, semua atlet negeri dilihat begitu bersemangat dan kekal fokus dalam setiap latihan yang diterapkan oleh jurulatih masing-masing.

“Persiapan untuk menghadapi Sukma Johor sudah lebih daripada 60 peratus dan ia melibatkan aspek latihan intensif yang terarah kepada taktikal dan strategi. Kita juga sedang fokus dalam memperkuatkan mental dan fizikal para atlet.

“Saya tak mahu letakkan sebarang sasaran spesifik namun kita gembira dan yakin dengan prestasi atlet-atlet pada masa ini dan saya berjanji Perak tidak akan mengecewakan selain akan memperbaiki kedudukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Automated External Defibrillator’ (AED) Save-A-Life dan Latihan CPR-AED di Pusat Akuatik Tuanku Zara, di sini, Ipoh, lapor Bernama.

Pada temasya Sukma Perak yang berlangsung pada 11 hingga 22 Sept 2018, kontinjen Perak sekadar meraih 37 emas, 50 perak dan 55 gangsa.

Lee berkata antara sukan yang dilihat berpotensi untuk menjadi lubuk emas kepada kontinjen negeri adalah menembak, Muay Thai, bola sepak dan silat.

“Bukan bermakna sukan lain kita tidak fokus tetapi ini antara sukan yang kita akan beri tumpuan dan kita anggap mampu untuk mengharumkan nama negeri di Johor nanti,” katanya.

Selain itu, katanya, bilangan atlet dan pegawai kontinjen negeri yang akan ke Sukma Johor besar kemungkinan dikurangkan selepas enam kategori dalam acara angkat berat bakal digugurkan.

“Perkara ini belum dimuktamadkan dan saya fikir kita akan bawa isu pengguguran acara angkat berat ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sukma nanti untuk dibincangkan dan diperbetulkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");