Perak Hari Ini

‘Polis Sedang Lipatgandakan Operasi Kepada Penunggang Motosikal’

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menggandakan operasi yang melibatkan penunggang motosikal di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata ia kerana kemalangan yang melibatkan motosikal adalah penyumbang terbesar kepada angka kemalangan maut yang dicatatkan di seluruh negara.

Katanya dalam tempoh lima hari sehingga semalam, sebanyak 65 kes kemalangan maut yang dicatatkan.

Walaupun berlaku penurunan 14 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu, namun Mohd Nadzri berkata 60 ke 65 peratusnya adalah kes daripada kemalangan yang melibatkan motosikal.

Katanya operasi yang dijalankan dengan menumpukan kepada penunggang motosikal itu bertujuan bagi mengekang dan seterusnya menurunkan angka kemalangan atau maut yang melibatkan kenderaan tersebut.

“Jika di Perak pada tahun lepas, kemalangan maut yang melibatkan motosikal, dalam tempoh sama, mencatatkan 10 kes kemalangan maut.

“Namun untuk tahun ini, juga dalam tempoh sama, Perak mencatatkan satu kemalangan maut. Kita berharap trend penurunan ini akan berterusan,” katanya.

Sementara itu ujar beliau, dalam tempoh lima hari ini, Perak mencatatkan penurunan kes kemalangan iaitu daripada 658 kes pada tahun lalu kepada 582 kes pada tahun ini.

Bagi kemalangan maut, katanya negeri ini juga mencatatkan penurunan dalam tempoh sama iaitu daripada 12 kes kepada 2 kes.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Selamat 16, sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Mes Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Bagi operasi tersebut, Mohd Nadzri berkata dalam tempoh sama, sebanyak 125,464 saman telah dikeluarkan berbanding 110,508 saman pada tahun lalu.

Katanya lagi, Op Selamat 16 menekankan kepada enam kesalahan utama iaitu, memandu melebihi had laju; memandu di lorong kecemasan; memotong di kawasan garisan berkembar; memotong barisan; melanggar lampu isyarat merah, serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Daripada kesemua kesalahan itu, melanggar lampu isyarat merah mencatatkan jumlah saman tertinggi iaitu 1655 sementara 1389 saman dikeluarkan bagi kesalahan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

Jelas Mohd Nadzri daripada 125,464 saman, 61 peratus daripadanya melibatkan enam kesalahan utama tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata hasil pemerhatian unit udara mendapati, sehingga lewat petang tadi, keadaan trafik di lebuh raya- lebuh raya utama negara berada dalam keadaan baik dan tiada kesesakan.

“Kita menjangkakan mungkin lewat malam ini atau esok jumlah pergerakan trafik akan sesak, khususnya menuju ke arah utara.

“Selain masyarakat Cina yang akan merayakan Tahun Baru Cina, masyarakat lain juga berkemungkinan akan menggunakan musim cuti sekolah ini untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");