Panasnya Hari Ini

Skandal 1MDB: Najib Didakwa Minta Bantuan Putera Raja Selamatkan Riza

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa meminta bantuan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan untuk menyelamatkan anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz daripada turut terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut BH Online, perkara itu terdedah berdasarkan rakaman suara perbualan telefon didakwa di antara Najib dengan Sheikh Mohammed, dipercayai pada 22 Julai 2016. Rakaman berkenaan diperdengarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada satu sidang media, di sini hari ini.

Dalam rakaman itu, individu yang didakwa sebagai bekas Perdana Menteri didengar membuat permohonan peribadi kepada Putera Mahkota itu supaya satu dokumen perjanjian pembiayaan diwujudkan di antara Riza dan Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC), Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

Najib juga didakwa memberitahu bahawa penyediaan dokumen berkenaan supaya dana diterima Riza bagi membiayai filem ‘Wolf of Wall Street’ dilihat sah di sisi undang-undang dan tidak akan didakwa sebagai pengubahan wang haram.

“Saya ada permintaan peribadi membabitkan Riza. Jika boleh ada satu perjanjian pinjaman dengan Sheikh Mansour, dia akan bayar balik mengikut jadual. Ini akan menunjukkan adanya pakej pembiayaan yang sah, ia bukan pengubahan wang haram.

“Ketika ini, dia (Riza) tertekan di Amerika Syarikat, kami risau dia akan dijadikan kambing hitam. Saya amat hargai jika perjanjian itu boleh ditandatangani secepat mungkin oleh Sheikh Mansour atau individu yang dilantik beliau,” katanya seperti dalam rakaman berkenaan.

Dalam rakaman sama, Najib juga didakwa meminta untuk bertemu dengan Sheikh Mohammed dalam kadar segera untuk menyelesaikan isu membabitkan SRC secepat mungkin kerana ia berpotensi memalukan Malaysia dan UAE.

Rakaman suara berasingan dipercayai pada 23 Julai 2016 pula mendedahkan perbualan telefon di antara individu didakwa Najib dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC), Khaldoon Al-Mubarak, yang membincangkan aturan pertemuan di antara Khaldoon dan Riza.

Perbualan itu bertumpu kepada persetujuan supaya pertemuan pertama di antara Riza dan Khaldoon hanya membabitkan dua individu berkenaan tanpa kehadiran peguam sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");