Berita Hari Ini

Sumbangan TOP Beri Semangat Baru Pelajar Orang Asli Untuk Ke Sekolah

KUALA LUMPUR- Tahun persekolahan 2020 bagi 674 pelajar Orang Asli bermula dengan penuh semangat apabila mereka menerima keperluan persekolahan yang lengkap menerusi kempen ‘Cerahi Kehidupan Bersama TOP’.

Menerusi Kempen TOP, fokus utama diberikan kepada komuniti Orang Asli yang mana sumbangan diberikan dari segi pakaian seragam sekolah baharu, kasut, stoking, beg, alat tulis, buku latihan, buku kerja, buku aktiviti, bekalan alat seni dan kraftangan serta alat muzik.

TOP telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menghantar keperluan kembali ke sekolah kepada komuniti-komuniti Orang Asli yang menetap di kawasan pedalaman Perak, Pahang dan Negeri Sembilan agar murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan keperluan sekolah yang lengkap, serta meringankan kewangan keluarga mereka.

Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo berkata, kempen ini telah banyak membantu ratusan keluarga Orang Asli serta memberi motivasi kepada kanak-kanak supaya terus belajar di sekolah.

“Dari sektor swasta, TOP telah memberi sumbangan kembali ke sekolah yang cukup besar kepada komuniti Orang Asli malahan, sumbangan ini memberikan nilai tambah terhadap bantuan yang telah disediakan oleh JAKOA terhadap para pelajar Orang Asli.

Kerjasama strategik di antara pihak kerajaan dan swasta dapat memberi semangat positif kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru,” katanya.

TOP juga telah menjalankan kempen seperti ini selama lima tahun bagi memberi motivasi kepada pelajar daripada komuniti kurang berkemampuan dan isi rumah B40 supaya mereka boleh mencapai kecemerlangan dengan meningkatkan keyakinan diri dan harga diri.

Sementara itu, TOP telah bekerjasama dengan peruncit utama, TESCO untuk menjalankan kempen mengumpul dana CSR bermula 15 November hingga 15 Disember 2019 yang mana tiga puluh sen daripada jualan produk terpilih TOP dari semua cawangan TESCO di seluruh negara dan Tesco Online telah disalurkan ke tabung kempen ‘Cerahi Kehidupan Bersama TOP’.

Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik) Southern Lion Sdn Bhd, Ling Ai Li berkata, tindak balas orang ramai terhadap kempen ini sangat memberangsangkan dengan kutipan hampir tiga kali ganda daripada yang dijangkakan malahan membuktikan sokongan kepada masa depan kanak-kanak Orang Asli yang lebih cerah.

“Menerusi kempen ini, memang jelas TOP dan pelanggan kami prihatin terhadap kesejahteraan kanak-kanak Orang Asli dan mahu menyokong komuniti ini,” katanya.

Menurut beliau, setiap keluarga yang hadir juga menerima satu pek bahan pencuci TOP Super White Micro Clean Tech untuk digunakan di rumah.

“Kanak-kanak di Pos Tenau memang kreatif, berbakat dan bersemangat berdikari. Kegembiraan mereka menerima keperluan kembali ke sekolah ini menukar majlis penyerahan menjadi seperti satu sambutan.

“Kebolehan mereka termasuklah kanak-kanak yang masih kecil, untuk mencuci pakaian seragam dengan tangan, patut dicontohi ramai. Mereka nyata membawa tagline Belum Bersih sehingga Dimikro Bersih dengan sepenuh hati,” katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Pos Tenau, Yok Komlok A/L Sentor berkata komunitinya sangat bersyukur di atas bantuan dan motivasi kepada murid-murid sekolah.

“Kebanyakan keluarga mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah dan kos keperluan kembali ke sekolah sememangnya sangat tinggi.

“Namun, kami juga mahu anak-anak menerima pendidikan dan gembira untuk pergi ke sekolah. Apabila kami mendapat tahu bahawa komuniti Pos Tenau telah terpilh untuk kempen ini, murid-murid, ibu bapa dan guru-guru sangat gembira. Terima kasih kepada kempen ‘Cerahi Kehidupan Bersama TOP!’,” katanya.

Bukan itu sahaja, Tok Batin Ayof Ekal dari Kampung Parit Gong yang merupakan seorang guru di SK Putra, Simpang Durian mengakui bahawa sumbangan ini cukup komprehensif, menyeluruh dan sangat dialu-alukan oleh komunitinya.

“Seramai 110 orang kanak-kanak dari perkampungan di kawasan ini menerima pakaian seragam sekolah baharu, kasut, stoking, beg, alat tulis, buku latihan dan buku kerja malahan, bekalan alatan seni dan kraf serta sebuah ukulele.

“Ibu bapa dalam komuniti kami tidak perlu lagi membeli sebarang kelengkapan sekolah. TOP dan rakyat Malaysia telah menunjukkan mereka mengambil berat ke atas kanak-kanak Orang Asli,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");