Berita Hari Ini

Syed Saddiq Tak Perlu Persoal Hak Pemimpin Pakatan, Kata Ramasamy

KETUA Pemuda Bersatu Syed Saddiq diminta menghormati hak pemimpin Pakatan Harapan untuk mempersoalkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung isu peralihan kuasa, kata pemimpin DAP P. Ramasamy.

“Syed Saddiq perlu diam daripada mempersoalkan hak demokrasi pemimpin PKR dan DAP yang meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menghormati perjanjian peralihan kuasa,” katanya yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang II dalam satu kenyataan.

Tambahnya tiada siapa yang memaksa Dr Mahathir untuk melepaskan jawatannya serta merta.

“Kita hanya mahu beliau tetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.”

Terdahulu, Syed Saddiq dalam satu kenyataan hari ini membidas pihak yang terus-terusan mendesak Dr Mahathir supaya letak jawatan.

Syed Saddiq menamakan Ramasamy sebagai antara “penyokong Anwar” yang turut memberi tekanan itu.

“Siapa Syed Saddiq yang nak beritahu saya apa yang saya boleh cakap dan tak boleh cakap,” tambah Ramasamy.

Beliau turut bersetuju dengan konsensus Majlis Presiden Pakatan bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sementara, namun menyatakan tarikh peralihan kuasa masih belum ditetapkan.

Kepimpinan Dr Mahathir penting semasa ketiadaan Anwar yang masih berada di penjara ketika itu, namun kini tiba masanya untuk selesaikan isu peralihan kuasa, kata Ramasamy.

Katanya, ini susulan kekalahan pakatan pemerintah dalam lima pilihan raya kecil berturut-turut sejak memenangi pilihan raya umum pada 2018.

“Apa yang tidak kena dengan meletakkan tarikh untuk peralihan kuasa.

“Saya pasti Dr Mahathir tiada masalah tentang perkata ini, tetapi nampaknya Syed Saddiq cuba untuk mendapat perhatian daripada Mahathir.”

“Sebagai seorang menteri, prestasinya juga mahu dilihat. Mungkin beliau perlu lihat diri sendiri sebelum bercakap mengenai orang lain,” tambah Ramasamy.

Syed Saddiq hari ini mempersoalkan mengapa penyokong Anwar terus memberi mendesak Dr Mahathir untuk meletak jawatan pada Mei tahun ini, berbanding November sebagaimana yang dibayangkan oleh pemimpin berkenaan.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, beliau memilih untuk membuat peralihan kuasa pada November selepas Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Beliau berkata, PH telah mencapai konsensus untuk Anwar mengganti Dr Mahathir dan desakan untuk perdana menteri meletakkan jawatan lebih awal akan mengganggu tugasnya untuk mentadbir negara.

Sementara itu Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menerusi Twitter berkata, tiada siapa yang mempersoalkan konsensus antara semua parti PH namun hanya mahukan tarikh yang spesifik.

“Tapi apa konsensus PH? 2 tahun atau tiada tarikh? Kalau 2 tahun, betullah Mei 2020. Kalau tiada tarikh, maka bila-bila masa boleh lakukan peralihan kuasa. Apa jawapan bro Syed?” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");