Panasnya Hari Ini

Syor Kabinet Dirombak

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesyorkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan rombakan Kabinet secara lebih menyeluruh, dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap kemampuan kerajaan membangunkan negara.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin, berkata penstrukturan semula dengan membawa masuk sekurang-kurangnya 50 peratus pakar teknokrat yang sudah terbukti keupayaan dan pengalaman serta kelayakan akademik yang boleh dipercayai ke dalam Kabinet seperti dilaksanakan Indonesia dan Tunisia, perlu dilaksanakan segera.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU itu berharap kepemimpinan negara bersedia melakukan pendekatan luar biasa bagi mengoptimumkan prestasi kerajaan khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 serta global geopolitik dan geoekonomi.

Meskipun umum mengetahui isu rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Rais menegaskan perlu ada penyelesaian luar biasa dalam menangani kritikan rakyat terhadap prestasi menteri.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya menteri yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas 20 bulan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14, digugurkan.

“Ya (rombakan Kabinet perlu dibuat), kali ini nasihat (untuk berundur) harus diberikan kepada mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Rakyat menderita,” katanya.

Rais menegaskan kerajaan perlu terus memberi fokus terhadap lima elemen yang disifatkan sebagai ‘perut ekonomi’ iaitu menangani kos sara hidup, meningkatkan kualiti kehidupan, menyediakan peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan kos penjagaan kesihatan yang berpatutan.

Beliau turut mengharapkan Dr Maszlee Malik yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa semalam, dikembalikan ke dalam Kabinet bagi menyelesaikan tugas di kementerian itu.

Baginya, Maszlee adalah seorang menteri yang terbukti berjaya melakukan beberapa transformasi pendidikan selain tidak terbabit dengan skandal tetapi terpaksa meletakkan jawatan.

“Harapan saya supaya Maszlee akan dikembalikan semula sebagai Menteri Pendidikan supaya beliau dapat menyelesaikan tugas di kementerian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");