Berita Hari Ini
Like

Tindakan Tegas Pada Peniaga Naikkan Harga Topeng Muka

January 27, 2020
358 Views
0 Comments
2 minutes read
Tindakan Tegas Pada Peniaga Naikkan Harga Topeng Muka

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng muka susulan penularan 2019 Novel Koronavirus.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP Muez Abd Aziz, berkata sebagai peringatan kepada peniaga, topeng muka adalah barang harga terkawal dan harga maksimum telah ditetapkan untuk lima jenis topeng muka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) harga borong pada RM5 sekotak, manakala harga runcit RM7 sekotak.

Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan (gelung telinga), harga borong RM8 sekotak manakala harga runcit RM10 sekotak dan RM0.20 sen seunit.

Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) pula, harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

Bagi topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala), harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit dan topeng muka (pembedahan/perubatan) N95, harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6.00 seunit.

Jelasnya sebarang pelanggaran di bawah peruntukan akta tersebut bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya bagi kesalahan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Perlu diingatkan juga, bagi topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimum seperti di atas, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah),” katanya.

Muez berkata kementerian akan terus melaksanakan pemantauan dengan mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa seramai 2,300 orang untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara sejak 25 Jan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

“Pihak kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.