Panasnya Hari Ini

Tingkat Bilangan Anak Muda Dalam Kepimpinan BERSATU

MELAKA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abd Rahman mahu lebih ramai golongan muda mengisi barisan kepemimpinan tertinggi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pemilihan parti itu tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mencabar golongan itu mengisi beberapa jawatan kanan dalam parti, sekali gus membawa suara anak muda dalam kepemimpinan parti.

Malah, beliau turut memberikan sokongan terbuka kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bertanding merebut jawatan tertinggi parti.

“Saya juga berharap, pertandingan pimpinan tertinggi akan ada wakil anak muda seperti Mohd Rafiq.

“Sama ada beliau nak pertimbangkan atau tidak, itu bergantung kepadanya, tetapi saya berharap pimpinan tertinggi itu sendiri termasuk Naib Presiden akan ada wakil anak muda, suara anak muda,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan hari Keluarga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Mohd Rafiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan negeri dan Ketua BERSATU Parlimen Kota Melaka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sementara itu, Mohd Rafiq masih lagi mempertimbangkan hasrat sebelum membuat keputusan bertanding jawatan tertinggi parti, selain mengambil kira sokongan ahli peringkat akar umbi.

“Berkaitan cadangan Syed Saddiq (untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi) itu, saya masih pertimbangkan lagi kerana mahu mendapatkan maklum balas dan sokongan daripada ahli akar umbi.

“Cuma yang saya boleh sahkan, saya akan pertahankan jawatan Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");