Berita Hari Ini

Tun Mahathir Tidak Pangku Jawatan Menteri Pendidikan Selamanya

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini tidak akan memangku jawatan Menteri Pendidikan untuk selama-lamanya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Sebaliknya, menurut BH Online, kata beliau, Perdana Menteri dijangka memangku jawatan itu dalam tempoh yang singkat sehingga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menemui calon sesuai menggantikan Dr Maszlee Malik.

Justeru, katanya, tidak timbul isu kononnya Dr Mahathir melanggar persetujuan Pakatan Harapan (PH) yang menolak Perdana Menteri untuk memegang portfolio lain dalam Kabinet pada satu masa.

“Tun hanya memangku sebentar, bukan memangku selama-lamanya. Yang kita tidak setuju kalau Perdana Menteri ambil secara rasmi jawatan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Penghargaan Kepada Badan Bertindak Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Maszlee meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir dalam satu pertemuan sehari sebelum itu.

Manifesto PH menetapkan Perdana Menteri tidak dibenarkan memegang portfolio lain dalam Kabinet.

Khalid menjelaskan, jawatan Menteri Kabinet ditentukan berdasarkan kuota kepada parti dalam PH.

“DAP ada kuota dia, PKR, BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) ada kuota dia. Dalam kes Maszlee, ini kuota BERSATU. Itu hak BERSATU untuk tukar.

“Ini bukan isu Majlis Presiden tidak bersuara tetapi ini (Menteri Pendidikan) peruntukan untuk BERSATU. Terpulang kepada mereka mahu lantik siapa,” katanya.

Sementara itu, Khalid mengesahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menyediakan tempat khas bagi merokok di kawasan komersil dan medan selera milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Ya kita akan bekerjasama dengan mereka untuk menyediakan tempat merokok,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan kementeriannya akan memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 PBT di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");