Berita Hari Ini

Wabak Koronavirus Baharu: China Kuarantin Wuhan

BEIJING: Wuhan, lokasi tercetus wabak koronavirus baharu, kini diletakkan dalam kuarantin dengan penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dari bandar itu digantung.

Selain itu, pengangkutan bawah tanah dihentikan dan acara awam yang besar dibatalkan, manakala doktor mengenakan pakaian pelindung penuh ketika merawat pesakit dijangkiti virus berkenaan.

Wabak itu bukan saja sudah merebak ke kawasan luar Wuhan di China tetapi juga negara lain, dengan mencatatkan 17 kematian dan lebih 500 mangsa dijangkiti, setakat ini.

Wuhan yang mempunyai 11 juta penduduk, disifatkan media negara ini sebagai ‘medan tempur utama’ dalam usaha menangani penularan wabak berkenaan.

Pihak berkuasa mengumumkan penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dari Wuhan digantung sementara mulai jam 2 pagi Khamis, manakala bas awam dan pengangkutan bawah tanah serta yang membabitkan perjalanan jauh turut dihentikan sehingga makluman lanjut.

“Tanpa alasan khas, penduduk tidak boleh meninggalkan Wuhan,” kata pusat kawalan khas memerangi virus itu di bandar terbabit, menurut media negara ini.

Langkah itu bertujuan ‘menghalang penularan virus berkenaan secara efektif, membendung wabak dengan tegas, dan menjamin kesihatan serta keselamatan rakyat,” kata notis terbabit, menurut agensi berita rasmi Xinhua yang dipetik BH Online dari AFP.

Keputusan itu dibuat ketika ratusan juta penduduk negara ini bakal melakukan perjalanan ke serata tempat sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Xinhua melaporkan, jabatan kebudayaan dan pelancongan bandar itu turut membatalkan segala lawatan berkumpulan hingga 8 Februari depan.

Selain itu, hotel dan lokasi tumpuan pelancong mesti menangguhkan semua aktiviti berskala besar hingga tarikh berkenaan.

Katanya, perpustakaan wilayah itu dan dua teater tempatan utama turut membatalkan pameran serta persembahan, manakala empat muzium menggantung operasi hingga notis lanjut.

Terdahulu, pegawai bandar itu menggesa orang ramai supaya tidak berkunjung ke Wuhan, sementara penduduk pula perlu mengelak daripada meninggalkan bandar berkenaan.

Malah, upacara sembahyang di Tokong Guiyuan, Wuhan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menarik kehadiran 700,000 orang pada tahun lalu, dibatalkan.

Perancangan untuk menghantar kumpulan opera ke kawasan pedalaman ketika cuti perayaan berkenaan turut ditarik balik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");