Perak Hari Ini

Warga Indonesia Guna Kad Pengenalan Palsu Sejak 8 Tahun

PARIT: Seorang pekerja di sebuah ladang di Sitiawan warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Parit, dekat sini, hari ini, kerana menggunakan kad pengenalan palsu.

Tertuduh, Sahrum Damanik, 55, membuat pengakuan salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda itu dikenakan hukuman penjara empat bulan bermula 23 Januari dan disusuli dengan pengusiran ke negara asal selepas tamat tempoh penjara tersebut.

Tertuduh telah melakukan kesalahan itu pada 23 Januari kira-kira jam 11 pagi di Hospital Changkat Melintang Bota, dengan menggunakan kad pengenalan palsu bertaraf penduduk tetap bernombor 590611-71-5639 atas nama Honorejo Bajang sebagai pengenalan diri miliknya.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan) 2007 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Firdaus Che Md Rose, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, ketika tertuduh telah bersedia untuk keluar dari Hospital Changkat Melintang Bota, pihak hospital telah meragui nombor kad pengenalan tertuduh sebelum merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Seri Iskandar dan kemudian mendapati kad pengenalan itu tidak wujud.

Dia yang memasuki negara ini pada 2012 dan menggunakan kad pengenalan palsu itu lebih kurang lapan tahun itu mengaku mendapatkannya daripada seorang rakan bernama ‘Man’ dengan bayaran RM1400 ansuran selama setahun.

Selain menggunakan kad pengenalan palsu itu untuk memohon pekerjaan di negara ini, dia juga telah mengemukakan kad pengenalan itu sebagai dokumen diri di Hospital Manjung sebelum dipindahkan ke Hospital Changkat Melintang Bota bagi mendapat rawatan melecet di kaki.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");