Perak Hari Ini

Zambry Pertimbang Ambil Tindakan Undang-undang

IPOH: Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mendapatkan nasihat perundangan bagi tindakan susulan ekoran dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan dirinya dengan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Katanya tuduhan tersebut adalah fitnah selain sengaja direka pihak bertanggungjawab dengan motif politik tertentu.

“Sebaik sahaja penutupan taman tema MAPS, ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah ‘Mini 1MDB’, pihak berkenaan melemparkan tuduhan serius mengaitkan diri saya dengan dakwaan skandal yang tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu turut mengalu-alukan sebarang laporan audit mengenai kedudukan kewangan MAPS bermula 2013 hingga 2019 selain setiap akaun itu tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah.

“Seperti yang semua sedia maklum MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam yang mana semua keputusannya berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

“Ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham.

“Selain itu, ia juga dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan. Dan Saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat ini,” katanya.

Zambry turut menyebut bahawa beliau tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa jika berlaku penyelewengan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras peruntukan undang-undang.

“Malangnya, amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban oleh pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");