Sukan Hari Ini
Like

Abu Samah Mahu Bersihkan Nama

February 2, 2020
318 Views
0 Comments
1 minute read
Abu Samah Mahu Bersihkan Nama

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab sedia untuk terus memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dibebaskan semalam.

“Saya bersyukur kerana telah dibebaskan lebih awal hari ini. Kalau mengikut reman empat hari iaitu sehingga esok (hari ini). Alhamdulillah saya telah dibebaskan sehari lebih awal selepas direman Khamis lalu.

“Dalam hal ini, saya baru dipanggil ataupun memberi keterangan kepada SPRM. Saya berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu menjalankan siasatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Abu Samah yang menerajui PKBM sejak 1990 memberitahu, beliau bersedia untuk kembali disoal siasat oleh pihak SPRM pada bila-bila masa bagi membersihkan namanya dan PKBM.

“Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM yang telah membebaskan saya. Selepas ini mungkin saya akan dipanggil lagi memberi keterangan, jadi saya akan terus memberi kerjasama kepada SPRM untuk membantu siasatan,” ujarnya yang dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000.

Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan SPRM telah menahan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan di kediamannya di Melaka Khamis lalu.

Difahamkan, penahanan itu bagi membantu siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam urusan pemberian kontrak melibatkan persatuan sukan yang dipimpinnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.