Berita Hari Ini

Anak Taib Tak Perlu Jelaskan Kekayaannya, Kata Peguam

Anak perempuan Yang di-Pertua Sarawak, Abdul Taib Mahmud menolak gesaan Tabung Bruno Manser (BMF) yang berpangkalan di Switzerland untuk menjelaskan kekayaan dimilikinya, susulan dakwaan beliau mengumpul beratus juta dolar ketika bapanya menjadi ketua menteri.

Jamilah Taib Murray menyaman BMF atas dakwaan itu dalam kes yang akan berlangsung di Switzerland tahun ini.

Saman itu difailkan Januari tahun lalu oleh syarikat hartanah Kanada, Sakto Corporation yang dimiliki Jamilah dan suaminya Sean Murray.

Peguamnya, Thomas Weibel dilaporkan berkata, Jamilah tidak perlu membuat penjelasan kepada sesiapa pun.

“Kita bukannya bercakap mengenai kekayaan Taib. Kita bercakap mengenai sebuah syarikat hartanah Kanada dan pengarahnya,” kata Weibel kepada saluran televisyen Swiss SRF semalam.

“Ya, beliau ialah anak perempuan Taib, tetapi beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada sesiapa pun. Beliau perlu berdepan kerajaan Kanada. Beliau berdepan pengauditnya, tetapi untuk kata ‘anda perlu menjelaskan kekayaan anda’, itu tidak boleh diterima.”

BMF mendakwa syarikat Jamilah terbabit dalam pengubahan wang haram dan ada kaitan dengan rasuah di Sarawak, di mana bapanya menjadi ketua menteri dari 1981 hingga 2014.

Kumpulan itu turut mendakwa Jamilah ada kaitan dengan hartanah bernilai lebih AS$300 juta (RM1.2 bilion) di Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Pada 2011, bapanya mengakui memberi beliau wang untuk memulakan perniagaan hartanahnya, tetapi enggan mendedahkan jumlah sebenar.”

BMF berkata, saman Jamilah menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti individu terdedah kepada politik atas kekayaan mereka yang tidak dijelaskan.

Ia memetik pakar anti-rasuah Switzerland, Mark Pieth yang memberitahu program berita sama, saman itu jika berjaya “mungkin menghalang kemampuan masyarakat sivil untuk mendedahkan rasuah dan jenayah korporat lain”.

BMF dinamakan sempena aktivis Switzerland, Bruno Manser yang memperjuangkan isu hutan hujan dan hak masyarakat Orang Asli di Sarawak.

Julai tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia sedang menyiasat Taib.

“Jika ada aduan, jika rakyat mempunyai sebarang maklumat atau aduan, mereka dialu-alukan menyerahkannya kepada kami dan kami akan hantarnya kepada jabatan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");