Berita Hari Ini

Beberapa Ahli Parlimen Dijangka Menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini, pagi ini.

Menurut Harian Metro, kunjungan berkenaan dipercayai bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bagi membentuk Kerajaan Pusat yang baharu susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Difahamkan, kunjungan menghadap akan dimulakan kumpulan pertama yang terdiri daripada beberapa wakil rakyat Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ahli Parlimen dari Semenanjung dengan mereka dijangka tiba, pada jam 11 pagi ini.

Pertemuan antara Ahli Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong itu juga dijangka bersambung dengan kumpulan kedua membabitkan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang dijangka tiba pada jam 2 petang ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri, selaras dengan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seiring peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Sehubungan itu, tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik turut terhenti pada tarikh sama.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");