Berita Hari Ini

Berita Palsu Covid-19: Warga Indonesia Dipenjara Seminggu, Denda RM1k

Seorang ibu tunggal warga Indonesia dipenjara seminggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat kenyataan palsu berhubung penularan jangkitan Covid-19 di laman profil Facebooknya.

Fui Lina, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mahkamah memerintahkan jurujual pakaian itu dipenjara mulai hari ini dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda.

Fui didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya, ‘Kimiko’ mengenai jangkitan Covid-19, dengan niat hendak atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada awam supaya orang awam terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu telah dibaca melalui laman sosial Facebook tertuduh di sebuah rumah, di Taman Danau Kota, Setapak, di Kuala Lumpur pada 9.55 malam, 1 Feb lepas dan didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia seorang ibu tunggal dan menanggung seorang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dengan alasan kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan trauma dan ketakutan kepada orang ramai.

“Tertuduh sepatutnya tidak berkongsi apa-apa berita palsu di laman sosial, sepatutnya hanya berkongsi berita yang tepat sahaja.

“Jika hanya hukuman berbentuk denda dikenakan, ia tidak cukup memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");