Panasnya Hari Ini

BERSATU Johor Serah Polis Siasat

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor menyerahkan kepada polis bagi membuat siasatan terhadap insiden gangguan dan kekecohan ketika majlis ramah mesra Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama parti itu di sebuah restoran di Ulu Tiram, malam tadi.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata pihaknya yakin polis akan melakukan tindakan wajar dalam menyiasat insiden berkenaan.

“Mengenai insiden gangguan dan kekecohan malam tadi, BERSATU Johor serahkan kepada polis untuk buat siasatan.

“Syed Saddiq juga sudah membuat laporan polis dan kita biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

“Kita juga tidak mahu menuduh mana-mana pihak dan hanya tunggu siasatan pihak berkuasa, ” katanya ketika dihubungi BH.

Pada insiden berkenaan, dilaporkan kira-kira 200 individu berbaju hitam dan merah mencetuskan kekecohan ketika Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU makan malam bersama ahli keluarga, rakannya dah pimpinan parti itu di sebuah restoran di Ulu Tiram, dekat sini.

Kumpulan itu dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan serta mendesak Ahli Parlimen Muar itu keluar dari Johor ketika mengepung restoran terbabit yang mempunyai pelanggan wanita serta kanak-kanak.

Turut bersama Syed Saddiq ketika kejadian ialah ibu bapanya, Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen serta Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa di Johor, selain beberapa ahli ARMADA BERSATU serta keluarga mereka.

Mereka kemudiannya diiringi keluar dari restoran itu melalui jalan belakang, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan itu di luar.

Sementara itu, sumber parti itu mendakwa, kumpulan 200 individu itu sudah mula kelihatan di sekitar restoran sejak jam 8.30 mal ketika jemputan mula hadir ke restoran itu bagi menghadiri majlis makan malam berkenaan.

Kata sumber berkenaan, pada mulanya kumpulan itu tidak menganggu majlis yang dimulakan dengan ucapan Mazlan sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Johor.

“Namun sebaik giliran Syed Saddiq berucap, kumpulan berkenaan mula melakukan provokasi dengan kata cacian dan kesat. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu tetap meneruskan ucapannya.

“Provokasi itu berlanjutan selama kira-kira setengah jam sebelum pihak berkuasa yang hadir meminta Syed Saddiq meninggalkan majlis menerusi laluan belakang restoran berkenaan, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");