Panasnya Hari Ini

BERSATU Nafi Ahli Parlimen, Pemimpinnya Keluar Parti

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menafi dan menolak dakwaan ada Ahli Parlimen dan pemimpin parti itu keluar parti susulan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya berkata, semua pemimpin dan Ahli Parlimen setia kepada parti itu.

“Saya nak jelaskan di sini bahawa kita membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa tiada seorang pun Ahli Parlimen dan pimpinan BERSATU yang diuar-uarkan keluar daripada parti.

“Kita semua utuh dan kekal dalam satu barisan kerana kita sudah membina parti ini dan harungi apa jua halangan serta rintangan, maka saya pasti kita akan dapat hadapi kemelut ini dengan jalan terbaik,” katanya ditemui media di pekarangan ibu pejabat parti itu di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Beliau berkata, pendirian BERSATU keluar Pakatan Harapan adalah keputusan parti.

“Keputusan dibuat Presiden sendiri dan MPT (Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi) juga bersetuju keluar daripada PH, maka ini keputusan parti dan kita akur,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat BERSATU malam ini juga sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU selain terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Marzuki berkata, soal kerjasama membentuk gabungan baru kerajaan tidak timbul dan ia terserah kepada Dr Mahathir dalam menentukan keputusan seterusnya.

“Itu kita belum bincang. Kita serah kepada mereka, kalau mereka masih sokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, maka kita berterima kasih atas itu. Selesai dulu masalah Perdana Menteri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");