Berita Hari Ini

China Mahu Negara Tertentu Tarik Balik Larangan Penerbangan

BEIJING: Pihak berkuasa penerbangan China berharap beberapa negara tertentu menarik balik larangan perjalanan untuk melancarkan perjalanan rentas sempadan, lapor agensi berita Xinhua.

Pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) Liang Nan berkata sektor penerbangan awam China bersedia bekerjasama dengan negara lain dan mengambil langkah kawalan epidemik yang ketat untuk menjaga kesihatan penumpang.

Penularan Covid-19, pertama kali dikesan di pusat bandar Wuhan, China, menyebabkan operasi penerbangan antarabangsa terjejas apabila kebanyakan syarikat membatalkan penerbangan, berikutan permintaan yang semakin merosot.

CAAC memahami mengapa keputusan itu perlu diambil. Pada masa sama, CAAC mengadakan dan meluluskan penerbangan sewa khas untuk mengangkut penumpang yang terkandas, membabitkan warga China dan warga asing, kata Liang.

Bagaimanapun, katanya terdapat sesetengah negara bertindak agak keterlaluan dengan menangguhkan penerbangan masuk dan keluar dari China atau melaksanakan sekatan kemasukan di sempadan.

“Sekatan sedemikian memberikan kesan negatif ke atas pasaran penerbangan global, menyebabkan kesulitan kepada pelancong antarabangsa,” katanya.

Liang berkata CAAC senantiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan mengemas kini maklumat mengenai langkah-langkah kawalan wabak yang diambil China untuk penerbangan antarabangsa.

Selain itu, katanya komunikasi dengan pihak berkuasa penerbangan dari negara dan wilayah lain sentiasa diperkukuhkan.

Beliau menggesa semua negara supaya mengikut nasihat pertubuhan antarabangsa dan berhati-hati ketika mempertimbangkan untuk mengambil langkah ketat, termasuk menggantung penerbangan.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");