Berita Hari Ini

Misi Kedua Wuhan Berjaya Hasil Kerjasama Pelbagai Agensi Kerajaan

KUALA LUMPUR – Misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China, berjalan lancar dan berjaya membawa pulang 66 orang daripada wilayah yang terjejas teruk dengan wabak COVID-19 di republik itu.

Menurut Bernama, kejayaan misi kali kedua itu adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, antaranya Kementerian Luar; Kementerian Kesihatan; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Polis Diraja Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam; dan Jabatan Imigresen.

Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) itu bermula dengan pesawat khas AirAsia berlepas ke Wuhan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 5.58 petang Selasa, dan tiba di KLIA pada 6.45 pagi Rabu dengan membawa pulang 66 orang terdiri daripada 46 rakyat Malaysia dan 20 lagi adalah tanggungan (pasangan/anak) mereka yang bukan warganegara.

Kepulangan mereka yang menetap di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei serta kawasan sekitarnya setelah terkandas berikutan wabak COVID-19 yang berpusat di ibu kota, diiringi 12 kru penerbangan, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia dan dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

“Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dan pasangan/anak mereka ini berjalan lancar dan semua selamat tiba di bumi Malaysia,” menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini.

NADMA adalah penyelaras misi HADR itu. Misi pertama HADR pada 4 Feb berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Selain agensi kerajaan, kedua-dua misi berkenaan turut mendapat kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAHB) dan AirAsia.

Menurut NADMA, hubungan baik dan kerjasama yang erat antara kerajaan Malaysia dan China juga menjadi penyumbang utama kejayaan misi HADR itu.

Kesemua 66 orang yang dibawa pulang itu telah melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh kerajaan China sebelum mereka dibenar menaiki pesawat.

Pada awalnya jumlah yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di China adalah 75 orang, tetapi enam daripada mereka tidak melepasi pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang yang dilakukan oleh kerajaan China.

Seorang lagi menarik diri atas faktor kesihatan tanpa hadir ke lapangan terbang, seorang tidak dapat serta kerana komitmen kerja dan seorang lagi tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana masalah logistik, menurut kenyataan itu.

Menurut NADMA, sebaik mendarat di KLIA mereka yang pulang itu melalui proses dekontaminasi sebelum dibawa ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk tapisan kesihatan sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan untuk kuarantin selama 14 hari.

Di Pusat Pemantauan itu, mereka diselia petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan dan akan menjalani saringan kesihatan dua kali sehari bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan akan dibenarkan keluar dari pusat itu setelah tamat proses pemantauan.

“Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga.

“Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis,” tegas NADMA.

Mereka yang tidak melepasi saringan kesihatan akan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Agensi itu juga sedang menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan rakyat Malaysia itu dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui.

Setakat 8.00 pagi ini, kes positif COVID-19 di Malaysia kekal 22 orang manakala 20 orang telah sembuh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");