Membawang Hari Ini
Like

Dakwa Tak Disokong Dewan Rakyat, Razlan Persoal Kemampuan Anwar Jadi PM

February 14, 2020
231 Views
0 Comments
2 minutes read
Dakwa Tak Disokong Dewan Rakyat, Razlan Persoal Kemampuan Anwar Jadi PM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Muhammad Rafii mempersoalkan kemungkinan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri di saat beliau dilihat tidak mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

Razlan berkata, Anwar malah tidak disokong sebahagian anggota parlimen partinya sendiri.

“Rakyat perlu dimaklumkan bahawa ada antara anggota parlimen PKR yang tidak menerima Anwar sebagai perdana menteri.

“Bagaimana mungkin Anwar akan mendapat sokongan majoriti untuk diangkat menjadi perdana menteri dengan tidak mendapat majoriti di Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia bukan isu jangka masa untuk peralihan kuasa berlaku, tetapi kegagalan PKR selaku parti terbesar dalam PH untuk mencapai konsensus.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang mengakui “sebilangan kecil dari PKR”, selain PAS dan kumpulan dalam Umno, bertindak mendapatkan tandantangan sebagai tanda sokongan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal ini.

Ia susulan laporan Sarawak Report yang mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Mahathir, yang kemudiannya akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong jika mendapat jumlah yang mencukupi.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar juga berkata isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini – yang kali terakhir diadakan pada 23 November lalu.

Sementara itu Razlan berkata isu SD tersebut hanya menambahkan lagi kecelaruan dalam negara.

“Kecelaruan ini akan membawa kepada keadaan yang tidak terurus.

“Dengan keadaan ekonomi merundum dan hubungan antara kaum tidak harmoni, kerajaan sepatutnya mendahulukan urusan rakyat daripada berkelahi berebut jawatan perdana menteri,” katanya lagi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.