Panasnya Hari Ini

Dakwaan Umno Terlibat Insiden Provokasi Berpandu Maklumat Polis, Kata Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kenyataannya yang mendakwa Umno terlibat dalam insiden provokasi dan kekecohan dalam pertemuan Pemuda PPBM di Johor Jumaat lalu adalah berpandukan maklumat daripada polis.

Beliau juga mengalu-alukan sekiranya Umno mahu menyaman beliau berikutan dakwaannya sebelum ini.

“Saya alu-alukan laporan polis yang dibuat mereka. Saya dimaklumkan bahawa mereka akan menyaman saya dan saya mengalu-alukannya juga.

“Seperti yang saya nyatakan, saya berpandukan apa yang telah disebutkan kepada saya oleh pihak polis sendiri apabila saya diberi taklimat,” katanya pada sidang media selepas acara Luncheon Talk bersama beliau pada program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq, yang juga menteri belia dan sukan, membuat laporan polis berhubung kekecohan dan ugutan yang dicetuskan kira-kira 200 individu ketika beliau mengadakan pertemuan dengan ahli sayap itu di sebuah restoran di Ulu Tiram, Johor.

Beliau, yang mengesyaki kumpulan itu terdiri daripada penyokong Umno berkata, rapat umum Pemuda PPBM bertujuan mengeratkan hubungan dengan ahli sayap itu supaya mereka terus bersatu.

Semalam, Pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq berikutan dakwaan beliau dikepung oleh penyokong Umno.

Ketua Pemuda Umno, Aysraf Wajdi Dusuki berkata, sayap itu juga akan memfailkan saman terhadap menteri berkenaan sekiranya beliau gagal memohon maaf.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata, beliau berpuas hati dengan siasatan polis yang setakat ini telah menahan 3 individu yang disyaki dalang kepada kekecohan itu.

Beliau berharap siasatan itu diteruskan untuk memberi isyarat bahawa budaya gangsterisme tidak diterima dalam politik Malaysia.

“Tidak kira siapa pun yang menjadi pelaku,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada akan meminta maaf atas dakwaannya terhadap Umno.

“Seperti yang saya nyatakan, saya dipandu oleh penemuan polis,” katanya.

Syed Saddiq juga berkata, pada malam kejadian, bukan beliau sahaja yang terpaksa melalui laluan keluar alternatif dari lokasi pertemuan bagi menghindari kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Bukan sahaja diri saya, tetapi exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, dan pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang juga bersama kami,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");