Membawang Hari Ini

‘Dayana Ada Bukti Cukup Naim’ – Ibu

KUALA LUMPUR: Ibu Dayana, Che Rohaida Che Daud menyifatkan tindakan undang-undang diambil anaknya adalah keputusan yang betul sebagai usaha menyelesaikan kemelut isu berkaitan hak penciptaan bersama lagu Sumpah.

Menurut Che Rohaida, apa yang dilakukan Dayana hanya mahu Naim bersikap jujur dan tidak menafikan haknya dengan mendaftarkan lagu Sumpah sebagai hak milik bersama.

“Pihak kami pun mahu menyelesaikan isu penciptaan lagu yang timbul ini secara baik. Cuma, mengikut prosedur undang-undang adalah tindakan yang betul.

“Sejak isu membabitkan hak penciptaan bersama lagu Sumpah muncul pada Julai tahun lalu, Dayana memang teruk dikecam oleh warganet.

“Kami berdiam sebelum ini bukan disebabkan mahu menunggu sehingga lagu Sumpah menang di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34), tetapi selepas mengambil pandangan banyak pihak,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Menurut Che Rohaida, anaknya juga memiliki bukti yang cukup seperti diminta Naim jika mahu menuntut hak penciptaan bersama lagu Sumpah itu.

“Dayana berani tampil untuk menuntut hak penciptaan bersama lagu itu kerana kami memang ada bukti yang cukup. Jadi, Naim diharapkan bersikap jujur.

“Kami hanya minta hak sepatutnya saja dan bukan mahu mengeruhkan keadaan. Malah, semoga isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Ujar Che Rohaida, sejak isu hak penciptaan lagu Sumpah timbul, sama ada Naim mahupun keluarganya hanya berurusan dengan dia sahaja dan bukannya bersama Dayana.

Menurut Che Rohaida lagi, memandangkan dia adalah ahli berdaftar Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), maka perlu untuknya berusaha mendapatkan pandangan ke arah jalan penyelesaian yang telus.

Sementara itu, penguam mewakili Dayana iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata anak guamnya memang memiliki bukti yang cukup sebagai salah seorang pencipta lagu Sumpah berkenaan.

“Kejujuran penting dalam berkarya dan saya harap Naim dapat bersikap jujur dengan peminat. Beritahu perkara sebenar.

“Malah, tempoh seminggu diberikan Dayana bagi saya sangat mencukupi untuk Naim berfikir dengan tenang dan mengambil tindakan wajar untuk menyelesaikan isu yang berlaku ini.

“Perkara boleh dibawa berbincang dan lebih baik sekiranya dilakukan perjumpaan oleh kedua belah pihak bagi mendapatkan penyelesaian yang baik,” katanya.

Ahmad Zaharil yang cukup berpengalaman dalam bidang perundangan berkata beliau berharap isu hak penciptaan bersama lagu Sumpah dituntut Dayana itu dapat diselesaikan segera secara berbincang.

Semalam, Dayana hadir ditemani suami dan ibunya tampil mengadakan satu sidang media yang berlangsung di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Hadir sama, Ahmad Zaharil selaku peguam dilantik Dayana dan Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid.

Dayana atau nama sebenar Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah adalah juara Idola Kecil 2009 terbitan TV9.

Dayana mendakwa dia mencipta lagu Sumpah bersama Naim pada 2015 ketika berusia 16 tahun dan mereka masih bercinta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");