Membawang Hari Ini

Dayana Beri Tempoh Seminggu, Naim Mahu Bukti

KUALA LUMPUR: Wanita yang mendakwa bekas kekasih, Naim Daniel memberi tempoh seminggu kepada penyanyi itu untuk membuat pengakuan terbuka berhubung isu penciptaan lagu Sumpah.

Dayana Amerda, 21, mahu juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu bersikap jujur mengenai apa yang didakwa hak penciptaan bersama lagu berkenaan.

“Saya minta Naim mengaku lagu Sumpah adalah hak cipta kami pada 2015.

“Saya memberikan masa seminggu untuk Naim tampil membuat pengakuan secara terbuka. Saya berlapang dada sekiranya Naim mahu berjumpa dan berbincang secara peribadi,” katanya kepada BH Online.

Dayana ditemui pada sidang media yang diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar di Kota Damansara, petang tadi.

Hadir sama, ibu Dayana, Che Rohaida Che Daud dan pengerusi Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid.

Terdahulu, Dayana atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah mendakwa pernah menghubungi Naim untuk mendapatkan penjelasan, namun penyanyi itu dikatakan tidak muncul. Sehubungan itu, Dayana mengadakan sidang media bagi mempertahankan haknya.

Dayana mendakwa, dia mempunyai bukti kukuh menunjukkan lagu Sumpah adalah hak cipta mereka.

Selain itu, Dayana berkata, dia mahu namanya dibersihkan apabila menerima banyak kecaman netizen sejak isu berkenaan tular, Julai tahun lalu.

“Saya dikecam mahukan royalti dan populariti. Saya tak nak duit, apa yang saya mahukan hanya kejujuran Naim.

“Sekiranya dia mendaftarkan nama saya, secara tak langsung saya dapat royalti. Bagaimanapun, soal royalti adalah nombor dua.

“Saya menyanyi sebelum ini tetapi berhijrah dan fokus dengan hidup yang baharu. Jika ingin populariti, lebih baik saya menyanyi semula, tetapi orang susah nak cari muka saya dalam laman sosial,” katanya.

Sementara itu, ibu Dayana, Che Rohaida mendakwa lagu dan lirik lagu berkenaan dihasilkan anaknya dan Naim pada 2015 lapor BHarian.

Ketika itu, Che Rohaida mendakwa mereka adalah pasangan kekasih, sebelum berpisah.

“Lagu Sumpah yang dihasilkan mereka melebihi lapan bar. Namun, Naim bertindak seolah-olah lagu itu adalah ciptaan sepenuh dirinya,” katanya sambil menambah Dayana sudah mendirikan rumah tangga, tahun lalu.

Naim ketika dihubungi BH Online mahu Dayana mengemukakan bukti atas dakwaan yang dibuat.

“Saya dan pihak pengurusan, WP Entertainment sentiasa bersikap terbuka.

“Perkara ini terlalu mendadak, sidang media yang diadakan seakan mahu meraih perhatian.

“Insya-Allah, saya dan WP Entertainment akan mengeluarkan kenyataan esok,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");